Keadaan di Gaza semakin tidak boleh diterima, kata PM Britain kepada Netanyahu
Agensi
April 2, 2024 07:00 MYT
April 2, 2024 07:00 MYT
LONDON: Apa yang berlaku di Semenanjung Gaza ketika ini termasuk serangan udara terbaharu tentera Israel ke atas konvoi pekerja bantuan antarabangsa adalah sesuatu yang semakin tidak boleh diterima, tegas United Kingdom (UK).
Justeru, UK menuntut Israel agar segera melakukan siasatan bebas yang menyeluruh dan telus terhadap insiden itu.
Penegasan Britain itu disuarakan Perdana Menterinya, Rishi Sunak kepada rakan sejawatannya dari Israel, Benjamin Netanyahu menerusi panggilan telefon pada Selasa.
Sunak memberitahu Netanyahu, beliau sangat terkejut dengan serangan yang meragut tujuh nyawa pekerja bantuan World Central Kitchen (WCK) termasuk tiga warga Britain," kata jurucakap rasmi Downing Street.
"Perdana Menteri berkata terlalu ramai pekerja bantuan dan orang awam biasa telah kehilangan nyawa mereka di Gaza dan keadaan semakin tidak boleh diterima.
“UK menjangkakan untuk melihat tindakan segera oleh Israel untuk menamatkan sekatan ke atas bantuan kemanusiaan, mengelakkan sebarang konflik dengan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan agensi bantuan, melindungi orang awam dan membaiki infrastruktur penting seperti hospital dan rangkaian air,” tambahnya.
Sunak turut menegaskan, matlamat Israel untuk mengalahkan Hamas tidak akan tercapai dengan membenarkan malapetaka kemanusiaan di Gaza. - Agensi