Keadaan di Gaza semakin bahaya - WFP

Bernama
Februari 21, 2024 18:36 MYT
WFP berkata penghantaran bantuan ke utara Gaza telah disambung semula pada Ahad (18 Feb) selepas ditangguhkan selama tiga minggu berikutan serangan ke atas trak agensi bantuan Palestin PBB. - Gambar fail/AP
KUALA LUMPUR: Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa keadaan di Gaza kini "semakin bahaya", menggesa akses segera dan selamat untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada ratusan ribu rakyat Palestin yang kini di ambang kebuluran.
Dalam satu kenyataan, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata pihaknya terpaksa menghentikan penghantaran bantuan ke utara Gaza sehingga keadaan selamat.
"Keputusan untuk menangguhkan penghantaran ke utara Semenanjung Gaza itu satu yang sangat sukar kerana kami tahu ia akan memburukkan lagi keadaan di sana dan lebih ramai berisiko mati kelaparan," menurut agensi itu pada Selasa.
Agensi itu komited untuk segera memberi bantuan kepada penduduk yang terdesak di seluruh wilayah yang dilanda perang itu, namun aspek keselamatan perlu diambil kira selain memastikan keselamatan penerima bantuan juga terjamin.
WFP berkata penghantaran bantuan ke utara Gaza telah disambung semula pada Ahad (18 Feb) selepas ditangguhkan selama tiga minggu berikutan serangan ke atas trak agensi bantuan Palestin PBB.
Namun pada Isnin, konvoi pertama dan kedua berdepan insiden yang tidak diingini apabila barangan bantuan kemanusiaan dirompak.
Agensi itu berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk memulakan semula penghantaran secepat mungkin, sambil menekankan bahawa keperluan yang paling mendesak ketika ini ialah untuk memastikan lebih banyak bahan makanan dapat masuk ke Gaza dari pelbagai laluan dan keperluan untuk membukan lintasan di utara Gaza.
"Sistem makluman yang berfungsi dan rangkaian komunikasi yang stabil juga diperlukan selain memudahkan keselamatan untuk kakitangan dan rakan kongsi kami serta penduduk tempatan.
"Gaza berada dalam situasi yang sangat kritikal dan WFP perlu bertindak dengan cepat untuk membantu ribuan orang yang sedang diancam kebuluran," kata agensi itu.
Pada Disember PBB dan rakan kemanusiaan memberi amaran tentang risiko kebuluran bakal melanda utara Gaza menjelang Mei melainkan keadaan di sana ditangani segera.
Keadaan itu sangat genting terutamanya kepada kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang baru melahirkan anak, dengan satu daripada enam kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan yang sangat serius.
-- BERNAMA
#Gaza #Palestin #Israel #WFP #program makanan sedunia #semakin bahaya
;