Keadaan di Brazil meruncing, bekas Ketua Keselamatan didakwa

Astro Awani
Januari 11, 2023 08:45 MYT
Kepala patung Dewi Keadilan (Lady Justice) dilihat di lantai susulan rusuhan antidemokrasi di bangunan Mahkamah Agung di Brasilia, Brazil. - Foto REUTERS
BRASILIA: Keadaan huru-hara politik di Brazil pasca Pilihan Raya Presiden tidak menunjukkan tanda-tanda reda, malah semakin meruncing susulan insiden pencerobohan Istana Presiden, Mahkamah Agung dan Kongres minggu lepas.
Terbaharu, bekas Ketua Keselamatan Awam Brazil, Anderson Torres dituduh mensabotaj polis tempatan dan gagal membendung rusuhan yang bertukar ganas di ibu kota negara itu.
Beliau sebelum itu dilucut daripada jawatannya selepas kumpulan penyokong bekas Presiden Jair Bolsonaro menggempur Kongres, Istana Presiden dan Mahkamah Agung.
Antara lain, Torres dituduh mengatur operasi secara terancang untuk menjejaskan ketenteraman awam.
Pejabat Peguam Negara berkata, ia sudah meminta Mahkamah Agung untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas Torres dan kesemua pegawai yang didakwa bertanggungjawab dengan insiden sehingga tercetusnya rusuhan.
Richardo Cappeli, yang dilantik untuk menjaga hal ehwal keselamatan di Brasilia berkata, tiada perintah atau arahan yang jelas daripada Torres sebelum bangunan kerajaan diserang.
Torres bagaimanapun menafikan terlibat berperanan dalam rusuhan berkenaan.
Sejak rusuhan ganas dan vandalisme tercetus Ahad lalu, polis Brazil sudah menahan 1,200 orang, termasuk yang terbaharu 300 orang.
Rusuhan bermula seminggu selepas Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva angkat sumpah jawatan susulan pilihan raya pada Oktober.
#huru-hara politik #Ketua Keselamatan Awam Brazil #Anderson Torres #rusuhan
;