Keadaan atmosfera tidak stabil bawa hujan lebat ke tengah Jepun
Bernama
Ogos 23, 2024 18:00 MYT
Ogos 23, 2024 18:00 MYT
TOKYO: Agensi cuaca Jepun pada Jumaat berkata keadaan atmosfera amat tidak stabil di wilayah Tokai tengah Jepun dan kawasan lain, sambil menambah hujan lebat turun di Wilayah Shizuoka.
Menurut Xinhua, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata udara lembap hangat yang mengelilingi pinggir sistem tekanan tinggi di Pasifik mengalir masuk ke atmosfera Jepun, mencetuskan keadaan yang sangat tidak stabil.
Kawasan Shimizu di bandar Shizuoka merekodkan hujan 317 milimeter dalam tempoh 24 jam sehingga 5 pagi waktu tempatan, yang melebihi purata hujan tempatan untuk bulan Ogos, kata JMA.
Amaran tanah runtuh dikeluarkan untuk beberapa bahagian di wilayah Shizuoka.
Pegawai cuaca berkata keadaan atmosfera di wilayah Tokai berkemungkinan kekal tidak stabil sehingga Sabtu.
Hujan setempat yang sangat lebat juga diramalkan di utara Jepun, kerana sistem tekanan rendah yang mengiringi bahagian hadapan berkemungkinan melepasi rantau itu, tambah JMA.
Paras hujan dalam tempoh 24 jam hingga pagi Sabtu boleh mencecah sehingga 150 milimeter di wilayah Tokai dan 120 milimeter di wilayah Hokkaido dan Tohoku.
-- BERNAMA