Ke Beijing, dulu PEK, kini Daxing - lapangan terbang baharu PKX

Razak Chik
September 25, 2019 05:57 MYT
Suasana di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing di Beijing, China, 25 Sept, 2019.(Foto AP)
LAPANGAN Terbang terbaharu China, dinamakan sebagai Daxing, yang menempatkan terminal terbesar di dunia dalam satu bangunan, mula beroperasi pada Rabu.
Pesawat Airbus A380 milik China Southern Airlines yang berlepas pada 4.23 petang (waktu Beijing) ke Guangzhou mencatat sejarah sebagai penerbangan pertama memulakan khidmat komersil dari lapangan terbang antarabangsa terbaharu China itu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing yang pembinaannya memakan masa lima tahun dengan kos AS$11 bilion menjadikan Beijing antara kota utama dunia yang mempunyai dua lapangan terbang antarabangsa bagi perjalanan jarak jauh.
Dengan empat landasan awam dan satu landasan untuk kegunaan tentera, Daxing (kod 3-huruf IATA: PKX) dibina dengan tujuan mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Beijing Capital (PEK) yang terletak di Utara Beijing.
Berukuran 700,000km persegi atau seluas 98 padang bolasepak, Daxing bakal mengendali hingga 70 juta penumpang setahun.
Presiden Xi Jinping hadir pada majlis pelancaran yang dirancang sebagai satu tarikan utama sambutan ulang tahun penubuhan Republik Rakyat China ke-70.
Lapangan Terbang Daxing mula dibina pada tahun 2014 hasil rekaan arkitek ternama Zaha Hadid dalam bentuk tapak sulaiman.
Hadid, warga Britain kelahiran Iraq yang meninggal dunia pada 2016, terkenal dengan bangunan ikonik seperti stadium bola sepak al-Warkah di Qatar (dibina untuk Piala Dunia Bolasepak 2022), London Aquatics Center (London Olympics 2012) dan Heydar Aliyev Cultural Center di Baku, Azerbaijan.
BACA: Beijing sedia rasmikan lapangan terbang 'tapak sulaiman gergasi'
#bangunan ikonik #Beijing #Beijing Capital #China #Daxing #lapangan terbang #PEK #penerbangan #penumpang #Xi Jinping #Zaha Hadid
;