Kazakhstan sedia menguatkuasakan larangan penggunaan telefon pintar di tempat kerja bagi anggota polis dan penjawat awam dalam usaha mengelakkan kebocoran maklumat.

Ironinya, perkembangan itu sendiri didedahkan kepada umum daripada dokumen yang dibocorkan.

Sebuah dokumen kerajaan yang dibocorkan kepada media negara itu pada Khamis menyatakan, telefon pintar akan mula dilarang penggunaannya bermula 24 Mac ini bagi polis dan penjawat awam yang sedang dalam tugas.

Larangan itu berikutan kebimbangan mengenai kes-kes kebocoran maklumat rahsia yang meningkat melalui aplikasi Whatsapp.

Seorang penjawat awam Kazakhstan memberitahu AFP pada Jumaat bahawa penjawat awam akan mula diperiksa di pintu masuk tempat kerja bagi memastikan telefon pintar tidak dibawa. Namun, langkah itu belum dilaksanakan.

Pemerintah Kazakhstan masih belum memberi pengesahan mengenai kebocoran dokumen tersebut.

Menteri Dalam Negara Kalmukhanbet Kasymov pada Khamis berkata, polis telahpun sebelum ini dilarang daripada menggunakan telefon bimbit ketika bertugas, namun ia adalah arahan tidak rasmi.

Kasymov bagaimanapun menafikan larangan baharu itu ada kaitan dengan kes gambar seorang pelajar yang mati dibunuh tersebar di media sosial bulan lalu.

Seorang bekas menteri, Murat Abenov, sudahpun berseloroh mengenai larangan berkenaan dengan mengatakan: “Penjawat awam kini memnyembunyikan telefon pintar dalam stokin mereka.

“Telefon pintar membanti petugas melakukan kerja-kerja asas seperti memeriksa keadaan cuaca sebelum mereka keluar rumah ataupun membantu menterjemah dari bahasa Rusia ke Kazakhstan.

“Larangan itu sepatutnya dikuatkuasakan pada penjawat awam yang berkerja di bahagian rahsia sulit, bukannya dikenakan ke atas semua pekerja,” katanya.