Kazakhstan akan bawa dua harimau belang Amur dari Belanda untuk pulihkan semula populasinya

Bernama
September 18, 2024 20:49 MYT
Harimau belang Amur atau harimau Siberia secara perbandingan adalah bersaiz lebih besar berbanding harimau Malaya, yang merupakan harimau paling kecil dalam sub-spesies harimau di tanah besar Asia. - Gambar hiasan/Unsplash
ASTANA: Dua ekor harimau belang Amur akan dibawa ke Kazakhstan dari Belanda menjelang akhir September untuk membantu memulihkan populasi harimau berkenaan, menurut agensi berita nasional negara itu, Kazinform, memetik Kementerian Ekologi dan Sumber Asli Kazakhstan.
Menteri Ekologi dan Sumber Asli Kazakhstan, Yerlan Nyssanbayev berkata Kazakhstan telah berusaha untuk "mengembalikan ngauman" dengan menggunakan harimau belang Amur kerana harimau belang Amur dan harimau belang Turanian mempunyai kaitan yang rapat.
Harimau belang Amur boleh menyesuaikan diri dengan suhu sejuk, manakala kebanyakan spesies lain hidup di kawasan yang panas dan lembap.
Menteri itu berkata dari segi sejarah, harimau belang Turanian hidup di hutan dan kawasan belukar di muara Sungai Ile. Spesies terakhir harimau itu dilihat di kawasan berkenaan pada 1948.
Beliau turut menambah bahawa empat lagi harimau akan dibawa ke Kazakhstan dari Rusia tahun depan.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, projek memperkenalkan semula harimau belang Amur ke Kazakhstan kini berada di peringkat rundingan. Rusia telah membangunkan metodologi dan bersedia untuk memindahkan spesies harimau itu.
-- BERNAMA
#harimau belang amur #Kazakhstan #pemulihan populasi #hidupan liar
;