Kawasan setinggan di Silicon Valley dikosongkan
APTN
Disember 5, 2014 19:27 MYT
Disember 5, 2014 19:27 MYT
Polis dan pekerja sosial mula mengosongkan salah satu daripada kawasan setinggan terbesar di Amerika Syarikat (AS) di lokasi Silicon Valley.
Warga gelandangan yang masih tidak meninggalkan kawasan di Lembah Silikon itu juga kini berisiko ditahan polis atas dasar menceroboh.
Kawasan setinggan yang terletak di tengah-tengah Lembah Silikon iaitu di pusat perkembangan industri multimedia di AS itu pernah menjadi rumah kepada lebih 200 gelandangan.
Walaupun penduduk kawasan itu telah diarah keluar sejak isnin, seramai 60 orang lagi masih enggan berganjak daripada rumah setinggan mereka.
Ada juga di antara mereka yang sedar mereka berisiko diberkas polis tetapi sanggup mempertahankan tempat tinggal di kawasan berlumpur dan dipenuhi sampah sarap itu.
"Nampaknya saya akan ditahan, tetapi ke mana lagi kami nak pergi jika kami masih menunggu kawasan perumahan dibangunkan?" kata seorang penghuni setinggan, Valentine Cortes
Sementara itu, pengurus respon gelandangan bandar San Jose, Ray Bramson berkata, kerajaan sedang berusaha menyediakan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan golongan gelandangan mampu memiliki tempat tinggal tetap.
"Kami perlu menjelaskan bahawa persekitaran di kawasan itu tidak sesuai untuk didiami dan kami tidak akan membenarkan sesiapa tinggal di sana. Jadi kami akan lepas tangan dan bergerak ke arah penyelesaian jangka panjang yang membantu gelandangan memiliki tempat tinggal tetap," katanya.
Dalam pada itu, sebilangan besar orang ramai yang kasihan dengan gelandangan mengadakan protes bagi membantah pengusiran itu.