Kawan karib bantu rakan bunuh diri

Astro Awani
Mei 8, 2015 13:44 MYT
Seorang wanita berusia 22 tahun dilaporkan membantu kawan baiknya untuk membunuh diri atas tanda kesetiaan terhadap sahabatnya.
Seorang wanita berusia 22 tahun dilaporkan membantu kawan baiknya, Emma Crossman, 21 untuk membunuh diri atas tanda kesetiaan terhadap sahabatnya, lapor Metro.UK.
Emma Crossman, 21, ditemui mati di rumahnya di Sleaford, Lincolnshire, pada tahun lepas dengan meninggalkan nota, 'Selamat tinggal, saya sayang anda semua.'
Menurut Lincoln Crown Court, rakan baik, Amelia Caller, 22, digambarkan agak taksub dengan Emma Crossman sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk Emma.
Manakala, bekas teman lelaki Emma, Adrian Kemp, 56, memberitahu Lincoln Crown Court hari ini bahawa dia sering menerima mesej ugutan daripada Emma bahawa dia ingin membunuh diri. Tetapi , Adrian tidak terfikir bekas teman wanitanya itu akan bertindak sebegitu.
Pelukis tatu itu menyatakan bahawa dia telah putuskan hubungan dengan Emma sebulan sebelum bekas teman wanitanya meninggal dunia.
Difahamkan, walaupun pasangan itu sudah berpisah tetapi mereka berdua masih menetap di rumah yang sama.
Menurut Adrian, dia tidak sangka Emma akan mengambil keputusan untuk bunuh diri kerana selama ini, Adrian beranggapan ugutan Emma hanya semata – mata untuk mencari simpati daripadanya.
Malah, Adrian juga menyatakan bahawa dia pernah merampas beberapa gas daripada Amelia yang dipercayai dibeli untuk kegunaan Emma.
Gambar diperoleh dari portal Metro.Uk
Sebelum ini, pihak pendakwa menyatakan Amelia Caller yang juga dikenali sebagai Emily telah membantu kawannya untuk membunuh diri dengan membekalkan gas sebagai tanda kesetiaan.
“Amelia dikatakan taksub dengan Emma sehingga sanggup lakukan apa sahaja untuk dia.
Mereka suka meluangkan masa bersama, terutamanya selepas dia (Emma) berpisah dengan pasangannya,” kata pendakwa raya Mark McKone.
Bagaimanapun, Amelia diakui tidak bersalah atas dasar bahawa dia tidak berfikir rakannya akan membuat keputusan untuk bunuh diri.
Mahkamah menjelaskan bahawa Emma Crossman mengalami kemurungan diri yang berbahaya dan perkara itu bertambah buruk selepas Emma berpisah dengan dengan bekas teman lelaki pada akhir tahun 2013.
Perbicaraan kes ini akan diteruskan sehingga bukti yang kukuh dikemukakan.
#Amelia Caller #bunuh diri #Emma Crossman
;