Kawal kebakaran, jerebu: Indonesia halang permit ladang sawit untuk syarikat baharu
Agensi
Mei 25, 2016 20:47 MYT
Mei 25, 2016 20:47 MYT
Indonesia telah menolak sejumlah 61 permohonan syarikat baharu dari pelbagai negara untuk menjalankan operasi perladangan sawit, dalam usaha negara itu mengawal industri yang dikaitkan dengan bencana kebakaran hutan dan jerebu.
Hampir sejuta hektar tanah diselamatkan daripada ditukar menjadi ladang kelapa sawit berikutan keputusan tersebut, ujar seorang pegawai kanan dari Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan, Afri Awang.
“Kami mahu menyelamatkan hutan kami. Pembangunan perlu diteruskan namu kita tidak boleh membiarkannya memusnahkan alam sekitar,” ujarnya di Jakarta, lapor AFP.
Keputusan itu dibuat selepas pemerintah republik itu mengumumkan untuk menghentikan pembukaan tanah baharu untuk perladangan kelapa sawit.
Presiden Joko Widodo telah menyeru pengusaha perladangan untuk meningkatkan hasil tanaman mereka dengan menggunakan benih yang lebih baik, berbanding meneroka tanah baharu.
Selama ini, perladangan di Sumatera dan Borneo meluas berikutan permintaan yang tinggi. Namun perkembangan itu telah menjadi punca banyak kejadian kebakaran hutan tahunan pada musim kering lantaran aktiviti menebang dan membakar untuk membersihkan tanah.
Bencana kebakaran pada 2015 adalah yang terburuk dan kesan jerebunya menyesakkan seluruh Asia Tenggara, hingga menjejas kesihatan, jadual penerbangan dan urusan harian masyarakat.
Afri bagaimanapun enggan mendedahkan butiran syarikat yang permohonan mereka baru saja ditolak itu, selain tidak megulas lanjut tentang perancangan pertanian baharu di tanah yang sedia ada.
Aktivis Greenpeace Indonesia, Kiki Taufik, mengalu-alukan keputusan pemerintah itu namun mengingatkan agar pihak berkuasa tempatan juga menguatkuasakan keputusan itu.
“Selalunya, permohonan syarikat-syarikat itu ditolak pemerintah pusat, namun mereka mula mencari jalan melobi pemerintah wilayah pula,” ujarnya.
Pelaksanaan undang-undang di Indonesia menjadi rumit kerana berlaku pengagihan kuasa yang banyak di seluruh gugusan kepulauan tersebut yang terdiri daripada lebih 17,000 buah pulau.
Banyak undang-undang yang digubal di Jakarta sering dipingguirkan oleh pentadbir-pentadbir tempatan.