Kaukus Palestin Parlimen Malaysia gesa segerakan mesyuarat CEAPAD
Bernama
Februari 6, 2025 19:00 MYT
Februari 6, 2025 19:00 MYT
Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin. - Gambar/ AP
KUALA LUMPUR: Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menggesa agar Mesyuarat Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang pertama disegerakan bagi merangka strategi pembangunan Gaza, Palestin.
Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh berkata pihaknya turut menggesa lebih banyak penyertaan negara-negara ASEAN dan Asia Timur dalam membantu Palestin, serta kawalan ketat terhadap penyaluran bantuan sampai kepada rakyat Palestin yang memerlukan .
"Kita tahu bahawa ASEAN turut mempunyai (Sidang Kemuncak) ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China, ini adalah kesempatan baik negara-negara ASEAN dan juga Asia Timur untuk melaksanakan pembangunan Palestin semula," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Syed Ibrahim turut menyeru agar Ahli Parlimen Malaysia dan Asia Tenggara bekerjasama lebih erat untuk menggerakkan tekanan terhadap kerajaan masing-masing dalam memperkukuh sokongan kepada Palestin, serta memacu bantuan kemanusiaan dan pembangunan melalui CEAPAD dan inisiatif lain.
Beliau berkata Ahli Parlimen juga perlu memperkukuh jaringan diplomatik dengan badan antarabangsa bagi mendesak akauntabiliti ke atas Israel dan tindakan lain yang boleh diambil.
Ahli Parlimen Ledang itu berkata pihaknya juga mengecam keras kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang mencadangkan penghapusan rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza, serta sokongan yang diberikan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
"Tindakan atau kenyataan yang dibuat oleh Presiden Amerika ini agak radikal dan tidak bertanggungjawab, beliau membuat duluan atau precedent berbahaya dalam tatanegara dunia, mencabuli prinsip kedaulatan, hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
"Mencadangkan pengusiran mereka dari Gaza bersamaan dengan menyeru kepada pembersihan etnik, satu pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta penghinaan terang-terangan terhadap maruah manusia," katanya.
Sehubungan itu, Syed Ibrahim berkata Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak kenyataan berunsur provokasi itu.
"Dunia tidak boleh berdiam diri dalam menghadapi retorik berbahaya ini. Kami menyeru kepada penghentian segera segala bentuk keganasan, penindasan dan diskriminasi terhadap rakyat Palestin serta menggesa masyarakat antarabangsa untuk berganding bahu dalam mencari keamanan yang adil dan berkekalan," katanya.
Selain itu, beliau berkata Malaysia perlu memperkukuh kerjasama dengan ASEAN, Asia Timur, BRICS dan negara-negara Global South bagi meningkatkan tekanan diplomatik untuk menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
-- BERNAMA