Katy Perry, tunang Jeff Bezos antara kru wanita bakal ke angkasa lepas

Agensi
Februari 27, 2025 07:20 MYT
Katy Perry bersama lima wanita lain akan berlepas ke angkasa lepas dengan roket Blue Origin milik jutawan Jeff Bezos, menjadikan mereka kru penerbangan wanita sepenuhnya yang pertama dalam tempoh lebih enam dekad. - Gambar fail Reuters
BINTANG pop antarabangsa, Katy Perry dan wartawan Gayle King serta Lauren Sanchez yang juga tunang kepada jutawan Jeff Bezos, akan berlepas ke angkasa lepas dengan roket Blue Origin, menjadikan mereka kru penerbangan wanita sepenuhnya yang pertama dalam tempoh lebih enam dekad.
Roket New Shepard, sebuah kapal angkasa suborbital setinggi 59 kaki (18 meter), akan membawa kru ini ke garis Kármán, sempadan angkasa lepas yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, menurut kenyataan Blue Origin yang dimiliki oleh Bezos.
Penumpang akan mengalami beberapa minit mikrograviti sebelum kembali ke Bumi melalui pendaratan yang dibantu payung terjun di padang pasir West Texas.
Turut melengkapi senarai kru ini ialah ahli sains roket NASA, Aisha Bowe; penyelidik bioastronautik, Amanda Nguyen dan penerbit filem, Kerianne Flynn.
Syarikat itu, bagaimanapun, belum mendedahkan tarikh misi tersebut.
Ini adalah penerbangan manusia ke-11 untuk roket tersebut dan yang ke-31 secara keseluruhan.
Rekod terakhir penerbangan angkasa sepenuhnya wanita adalah pada tahun 1963 melalui misi solo angkasawan Soviet, Valentina Tereshkova, wanita pertama di angkasa.
Penerbangan pertama New Shepard yang membawa kru pada Julai 2021 menampilkan Jeff Bezos dan abangnya, Mark.
Sejak itu, roket tersebut telah membawa bekas pemain NFL Michael Strahan dan pelakon Star Trek William Shatner, yang menjadi manusia tertua di angkasa pada usia 90 tahun.
Bulan lepas, roket gergasi syarikat itu, New Glenn, berlepas dari Florida dalam misi pertamanya ke angkasa, langkah permulaan ke orbit Bumi untuk syarikat angkasa Jeff Bezos yang bertujuan menyaingi SpaceX dalam perniagaan pelancaran satelit. - Agensi
#Kate Perry #Jeff Bezos #Angkasa Lepas #roket Blue Origin
;