Kata Netanyahu, Israel "secara tidak sengaja serang orang yang tidak bersalah"
Agensi
April 2, 2024 06:45 MYT
April 2, 2024 06:45 MYT
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tentera rejim Zionis itu "secara tidak sengaja menyerang orang yang tidak bersalah di Semenanjung Gaza."
“Malangnya, pada hari terakhir, berlaku insiden tragis di mana tentera kita secara tidak sengaja menyerang orang yang tidak bersalah di Semenanjung Gaza.
“Ia berlaku dalam peperangan dan kami sedang menyiasatnya dengan teliti. Kami berhubung dengan kerajaan yang rakyat mereka terlibat dan akan melakukan segala-galanya untuk mengelakkan kejadian seperti itu pada masa hadapan,” kata Netanyahu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Kenyataan Netanyahu dikeluarkan selepas sekurang-kurangnya tujuh pekerja bantuan World Central Kitchen (WCK) terbunuh di Gaza.
Angkatan Pertahanan Israel pada hari Selasa berkata mereka sedang menyiasat serangan itu "di peringkat tertinggi."
Dalam kenyataan yang sama, Netanyahu berkata, dia sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas menjalani pembedahan hernia pada hujung minggu lalu.
Pada Selasa, serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya tujuh pekerja bantuan antarabangsa dan seorang pemandu Palestin.
WCK iaitu kumpulan bantuan yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengesahkan anggota kakitangannya terbunuh dalam serangan tersebut.
Mangsa yang maut adalah dari Palestin, Australia, Poland, United Kingdom, Serta Warga Amerika-Kanada.
WCK berkata, serangan itu berlaku ketika kakitangannya menghantar makanan ke Gaza, di mana ratusan ribu rakyat Palestin diambang kebuluran akibat serangan Israel.
Susulan serangan berkenaan, WCK memaklumkan pihaknya segera menggantung operasi di rantau itu. - Agensi
#serangan udara Israel
#pekerja World Central Kitchen
#World Central Kitchen diserang
#Benjamin Netanyahu