Kastam Malaysia dan Indonesia perkukuh kerjasama
Bernama
Ogos 29, 2023 04:50 MYT
Ogos 29, 2023 04:50 MYT
JAKARTA: Pegawai kastam dari Malaysia dan Indonesia baru-baru ini bertemu di Medan, Sumatera Utara untuk menyemak semula tindakan sebelum ini, menangani cabaran serta membuka jalan untuk kerjasama masa depan bagi meningkatkan perdagangan rentas sempadan.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Zazuli Johan dan Indonesia diketuai rakan sejawatannya Ketua Pengarah Kastam dan Eksais (DJBC) Askolani.
Pada mesyuarat dua hala ke-19 itu, kedua-dua agensi membincangkan usaha untuk menambah baik prosedur kastam bagi mengukuhkan peraturan, memerangi pelanggaran dan memudahkan kelancaran proses perdagangan.
Mesyuarat itu turut menyentuh mengenai pelbagai perkara perkastaman, penyeliaan dan eksais, termasuk topik seperti amalan tadbir urus yang baik, pembangunan kapasiti, penguatkuasaan dan pengawasan aktiviti berkaitan narkotik.
Rondaan Kastam Terkoordinasi Indonesia-Malaysia atau Patkor Kastima dan Pasukan Petugas Bersama Narkotik mendapat perhatian khusus semasa perbincangan itu, menurut DJBC dalam satu kenyataan.
DJBC turut berkongsi data dan maklumat tentang makmal kastam dan eksaisnya memandangkan JKDM sedang mengkaji untuk menubuhkan makmal yang serupa.
Sempena mesyuarat dua hala itu, anggota delegasi turut melawat Makmal Kastam dan Eksais Kelas II Medan.
-- BERNAMA