Kasih anak 10 tahun untuk ibu tersayang
Agensi
November 20, 2018 07:16 MYT
November 20, 2018 07:16 MYT
Seorang budak perempuan berusia 10 tahun menggalas tugas menjaga ibunya yang hilang ingatan dan memiliki akal seperti kanak-kanak setelah wanita itu mengalami pendarahan otak.
Cai Chengcheng baru berusia enam tahun ketika ibunya, Chen Li mengalami pendarahan otak yang menyebabkannya tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri.
Chengcheng berkata, dia masih ingat kali pertama ibunya pulang ke rumah selepas menerima rawatan di hospital.
“Ibu duduk di kerusi roda, dia mengenali saya tetapi tidak dapat memanggil nama saya,” katanya yang setiap hari mengajar ibunya membaca, menulis dan bercakap.
“Ketika saya kecil, ibulah yang mengajar saya bercakap dan membaca, kini adalah giliran saya pula mengajar ibu,” katanya kepada akhbar Chengdu Business Daily.
Anak kecil itu juga menguruskan segala keperluan ibunya termasuk memberinya makan ubat serta menjalani latihan fisioterapi.
Cai tinggal di bandar Yibin bersama bapanya, Yong yang sibuk menguruskan perniagaan kedai runcit bagi menampung kos perubatan, manakala abangnya, Cai Ling baru memasuki sekolah tinggi.
Ibunya kini mampu membantu melakukan tugas-tugas ringan di kedai namun masih memerlukan perhatian dan penjagaan.
Walaupun banyak menghabiskan masa menjaga ibunya, Cai adalah pelajar cemerlang di sekolah, berkat dedikasi menjaga ibunya, Cai menerima anugerah anak taat kepada ibu bapa yang diberikan oleh kerajaan tempatan Yibin dan stesen penyiaran China, CCTV.
#Cai Chengcheng
#CCTV
#Chen Li
#China
#hilang
#Hospital
#Kanak-kanak
#kerajaan
#pelajar
#perubatan
#rumah