Kashmir alami fasa musim sejuk paling teruk dalam sejarah
Astro Awani
Januari 14, 2024 11:40 MYT
Januari 14, 2024 11:40 MYT
KASHMIR: Musim kering berpanjangan melanda Kashmir, wilayah dikawal India, menyaksikan fasa musim sejuk yang paling teruk pernah dihadapi.
Industri pelancongan Kashmir yang lazimnya jadi tumpuan untuk aktiviti ski, kini terjejas, susulan kekurangan salji.
Kebanyakan dataran di Kashmir tidak menerima sebarang salji manakala bahagian pergunungan kelihatan kurang daripada biasa.
Pegawai cuaca memberi amaran bahawa keadaan cuaca kering berkemungkinan berterusan untuk sekurang-kurangnya seminggu lagi.
Di kawasan ski terbesar di Asia, Gulmarg, di mana kebiasaannya beribu-ribu pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung untuk bermain ski dan meluncur salji yang menakjubkan pada musim sejuk, hampir tidak ada salji kali ini.
Menurut pegawai meteorologi India, suhu siang hari adalah tinggi melebihi sebulan, kadangkala sekurang-kurangnya 6 darjah Celsius, di bawah paras beku.
Bagaimanapun sewaktu malam, keadaan terus membeku dan menjadi sangat sejuk.
Pegawai berkata wilayah itu turut menyaksikan defisit hujan kira-kira 80 peratus pada bulan Disember, manakala tiada hujan pada minggu pertama Januari.
Pakar mengaitkan peralihan cuaca di Kashmir dengan perubahan iklim yang lebih luas dan pemanasan global dan memberi amaran bahawa ia boleh memberi impak melata terhadap sumber air dan pertanian di rantau itu.
Awal minggu ini, saintis iklim mengesahkan bahawa 2023 adalah tahun paling panas dalam rekod dan mengunjurkan bahawa Januari akan menjadi sangat panas.
Situasi ini turut menjejaskan aktiviti tanaman, di mana sebilangan petani telah menukar sawah padi mereka kepada kebun buah-buahan kerana kekurangan air.
Turun naik suhu yang besar juga telah menyebabkan lonjakan isu kesihatan, terutamanya masalah pernafasan yang melanda ramai penduduk.
Kawasan Kashmir yang mana penduduknya kebanyak beragama Islam turut tidak ketinggalan, berhimpun bagi menunaikan solat berjemaah, mendoakan musim kemarau berakhir.
Wilayah Himalaya yang indah di Kashmir dibahagikan antara India dan Pakistan dan kedua-duanya menuntut wilayah itu yang dipertikaikan sejak sekian lama.