Kartunis lukis gambar Nabi Muhammad maut nahas jalan raya di Sweden

Hafizi Rosli
Oktober 4, 2021 10:22 MYT
Lars Vilks dilihat di rumahnya di pinggir bandar Hoganas, Sweden, 16 Mei, 2010. - Gambar fail AP
SEORANG kartunis dari Sweden yang sebelum ini mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia selepas melukis gambar Nabi Muhammad, maut dalam nahas jalan raya pada Ahad.
Menurut media tempatan, Lars Vilks dilaporkan terbunuh ketika kereta polis yang dinaikinya bertembung dengan sebuah trak berdekatan bandar Markaryd di selatan Sweden.
Dua anggota polis turut dilaporkan terkorban dalam nahas itu manakala pemandu trak berkenaan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Vilks, 75 tahun, hidup di bawah perlindungan polis selepas berdepan ugutan bunuh susulan lukisannya yang menimbulkan kontroversi.
Hasil lukisan kartun berkenaan, yang dihasilkan pada 2007, dikritik ramai kerana ibarat mencerca Nabi Muhammad.
Bagaimanapun, pihak polis setakat ini belum mengeluarkan keterangan berhubung mangsa nahas namun pasangan Vilks mengesahkan kematiannya kepada akhbar tempatan, Dagens Nyheter.
Lukisan kartun Vilks itu turut mencetus pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan pemimpin seluruh dunia.
Ia memaksa Perdana Menteri Sweden ketika itu, Fredrik Reinfeldt, bertemu duta besar dari 22 negara Islam dalam usaha meredakan keadaan.
Al-Qaeda di Iraq juga menawarkan ganjaran AS$100,000 atau RM417,000 bagi pembunuhannya.
Pada 2015, Vilks menghadiri perdebatan mengenai kebebasan bersuara yang menjadi sasaran serangan senjata api di Copenhagen.
Dakwanya, dia mungkin menjadi sasaran serangan sehingga seorang pengarah filem terbunuh.
#Lars Vilks #kartunis Sweden #Nabi Muhammad #nahas jalan raya
;