Kartel dadah Mexico buat kejutan agihkan hadiah Krismas

Agensi
Disember 31, 2016 10:58 MYT
Kartel dadah Mexico sangat berkuasa sehinggakan urus niaga haram yang mereka lakukan sering melibatkan jumlah yang besar. - Foto: Flickr/Galeria de Bee
Pihak berkuasa Mexico sedang menyiasat laporan mengenai kumpulan kongsi gelap dan kartel dadah negara itu yang mengagihkan hadiah berupa permainan kanak-kanak, selimut dan ayam belanda untuk makan malam kepada penduduk di bandar raya tersebut, lapor AFP.
Media tempatan melaporkan, Cartel del Noreste, yang dikenali sebagai CDN, mengagihkan pemberian itu di Nuevo Laredo pada 26 Disember lalu selain menampal mesej pada setiap hadiah tersebut.
“Sempena Krismas ini, semoga kegembiraan menjadi pakaian terbaik, senyuman menjadi hadiah terbaik, impian menjadi takdir terbaik, dan kebahagiaan anda menjadi doa saya. CDN mengucapkan Selamat Hari Krismas 2016,” kata mesej yang dilekatkan pada hadiah-hadiah berkenaan, lapor akhbar Reforma.
Makanan yang diagihkan berupa ayam belanda panggang dan kentang lecek.
CDN adalah kartel dadah serpihan daripada kartel yang sangat berbahaya dan ganas iaitu Los Zetas, yang juga dalang kepada beberapa kekacauan besar dalam perang dadah Mexico.
Pejabat pendakwa raya di Tamaulipas berkata, pihaknya akan menyiasat tentang pengagihan itu selepas mendapat laporan daripada media.
Kartel dadah di negara itu sudah benyak menimbulkan kebimbangan, namun adakalanya pada sisi lain, mereka meminjam konsep 'Robin Hood'.
Mereka menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang namun pada masa yang sama 'memberi saguhati' kepada penduduk di kawasan yang mereka kuasai.
Di kawasan pergunungan Sinaloa, penduduk tempatan berkata ketua kongsi gelap atau ‘kingpin’ yang bernama El Chapo, yang kini dalam penjara, pernah menghantar permainan untuk kanak-kanak sempena Krismas.
Penduduk di negeri Michoacan juga berkata, El Chapo sering menagihkan hadiah pada musim Natal selain menganjurkan parti serta memberikan wang tunai.
#CDN #kartel dadah Mexico #Krismas #Los Zetas #Robin Hood
;