Karim Benzema fail saman fitnah terhadap menteri Perancis

Agensi
Januari 16, 2024 06:30 MYT
Karim Benzema memfailkan saman fitnah ke atas Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin yang pernah mendakwanya mempunyai hubungan “terkenal” dengan Ikhwanul Muslimin. - Gambar fail Bernama
PARIS: Bintang bola sepak dunia, Karim Benzema pada Selasa memfailkan saman fitnah ke atas Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin yang pernah mendakwa bekas bintang Real Madrid itu mempunyai hubungan “terkenal” dengan Ikhwanul Muslimin.
Darmanin, seorang pemimpin politik yang lantang bercakap serta bercita-cita menjadi Presiden Perancis mengkritik Benzema selepas bekas penyerang Perancis dan pemenang Ballon d'Or 2022 itu memuat naik hantaran di akaun X pada pertengahan Oktober lalu menyatakan sokongan kepada penduduk Gaza.
Dalam hantaran itu, Benzema berkongsi pendapatnya bahawa rakyat Palestin merupakan mangsa “pengeboman yang tidak adil” yang dilakukan oleh Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan berdarah Hamas pada 7 Oktober.
Darmanin bertindak balas terhadap ciapan Benzema dengan mendakwa pemain itu "mempunyai hubungan yang terkenal dengan Ikhwanul Muslimin" iaitu sebuah kumpulan Islam Sunni yang berasal dari Mesir.
Saman yang difailkan Benzema melalui peguam Hugues Vigier yang dilihat AFP itu menyatakan, tuduhan Darmanin "mencemarkan" maruah dan reputasi pemain tersebut.
Dalam samannya itu, Benzema yang bermain untuk kelab Saudi Al-Ittihad dan seorang penganut agama Islam berkata, dia “tidak pernah mempunyai sebarang hubungan dengan organisasi Ikhwanul Muslimin ataupun berdasarkan pengetahuannya (mempunyai hubungan) dengan sesiapa yang mengaku sebagai ahlinya.”
Benzema turut memberitahu: “Saya sedar sejauh mana populariti saya, saya menjadi mangsa permainan politik, yang lebih memalukan memandangkan peristiwa dramatik sejak 7 Oktober sepatutnya lebih layak mendapat (perhatian) sesuatu yang agak berbeza daripada kenyataan sebegini.”
Pada Oktober lalu, Darmanin mengeluarkan kenyataan mempertahankan dirinya dengan mendakwa, beliau tidak mempunyai apa-apa niat terhadap Benzema.
Namun begitu, apa yang mengejutkan Darmanin ialah pemain bola sepak itu tidak pula berkongsi sebarang hantaran menyokong Israel kerana terdapat sejumlah rakyat Israel yang menjadi mangsa korban Hamas atau guru Perancis yang ditikam hingga mati oleh seorang bekas pelajar pengajian Islam awal bulan ini.
"Saya secara terbuka menyeru dia (Benzema) untuk menulis hantaran (di X) untuk guru itu yang meninggal dunia kerana keganasan Islam dan dia tidak melakukannya," kata menteri itu pada lawatannya ke Abu Dhabi.
Darmanin juga merujuk kepada keengganan Benzema untuk menyanyikan lagu kebangsaan ketika bermain untuk Perancis dan pendekatan "dakwahnya di rangkaian sosial."
Aduan itu dikemukakan kepada Cour de justice, satu-satunya mahkamah Perancis yang diberi kuasa untuk mendakwa anggota kerajaan atas kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan tugas mereka. - AFP
#Perang Palestin-Israel #Karim Benzema #Karim Benzema saman menteri Perancis #Ikhwanul Muslimin
;