Kapten feri Sewol Korea Selatan yang karam dijatuhi hukuman penjara 36 tahun

AFP
November 11, 2014 14:34 MYT
Feri Sewol karam di bahagian selatan negara itu pada 16 April lalu. - Gambar Fail
Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun ke atas kapten feri Sewol yang karam dalam nahas yang berlaku April lalu, namun melepaskannya dari tuduhan menyebabkan kematian 304 orang yang maut dalam kejadian itu.
Panel tiga hakim membuat keputusan, pihak pendakwaan yang mahukan hukuman mati terhadap Lee Joon-Seok, gagal mengemukakan bukti yang kukuh untuk mensabitkannya dengan kesalahan “membunuh dengan niat berlaku cuai”.
Sebaliknya mahkamah mendapati Lee, 69, bersalah mengabaikan tanggung jawabnya dengan meninggalkan feri yang sedang karam dengan ratusan penumpang, kebanyakkannya pelajar sekolah yang terperangkap di dalam feri malang itu.
Keputusan dibuat selepas perbicaraan lebih lima bulan yang turut menyaksikan 14 anak kapal feri terbabit dibicarakan bersama.
Feri Sewol karam di bahagian selatan negara itu pada 16 April lalu.
Tiga dari mereka yang juga pegawai kanan feri terbabit telah pun dijatuhi hukuman penjara sehingga 30 tahun oleh mahkamah.
“Kami (hakim) berpendapat adalah sukar untuk merumuskan, tertuduh sedar yang mangsa berkemungkinan meninggal dunia di atas tindakan mereka itu dan dia tiada niat untuk membunuh mangsa,” kata hakim.
“Kerana itu tuduhan membunuh tidak dapat diterima.”
#feri #Korea Selatan #Lee Joon-Seok #Sewol
;