Kapten bola sepak remaja Thailand sah bunuh diri di UK

Astro Awani
Oktober 31, 2023 09:00 MYT
Duangpetch "Dom" Promthep berusia 17 tahun ketika dia meninggal dunia pada Februari. - Gambar fail AP
KAPTEN pasukan bola sepak remaja Thailand yang diselamatkan dari gua yang dilanda banjir pada 2018 disahkan membunuh diri di sebuah sekolah di United Kingdom (UK) awal tahun ini.
Memetik laporan BBC, Duangpetch "Dom" Promthep berusia 17 tahun ketika dia meninggal dunia pada Februari.
Dia ditemui tidak sedarkan diri di bilik asramanya pada 12 Februari dan meninggal dunia di hospital dua hari kemudian.
Remaja itu merupakan pelajar di Akademi Bola Sepak Kolej Brooke House di Leicestershire.
Sementara itu, menurut Pegawai Kesihatan Kanan Leicester dan selatan Leicestershire, Profesor Catherine Mason, merekodkan kesimpulan kematian Duangpetch sebagai kes bunuh diri.
"Promthep tidak mempunyai rekod perkhidmatan kesihatan mental dan tidak diketahui mengapa dia mengambil tindakan sebegitu. Ia tidak dapat diramalkan atau dihalang,"
"Siasatan polis tidak menemui bukti penglibatan pihak ketiga atau keadaan yang mencurigakan." tambahnya.
Duangpetch dan pasukan bola sepak Wild Boars menjadi tajuk utama berita global pada 2018 apabila dia dan rakan sepasukannya terperangkap di kompleks gua Tham Luang di wilayah utara Chiang Rai.
Ribuan sukarelawan, pegawai, penyelam dan pakar dari seluruh dunia terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mereka yang terperangkap selama 17 hari melibatkan 12 remaja lelaki dan seorang jurulatih.
Duangpetch yang pada ketika itu berusia 13 tahun merupakan mangsa pertama yang menjerit meminta bantuan kepada pasukan penyelamat.
Sebelum ini, keluarga Duangpetch telah merayu bantuan agar mayatnya dikembalikan ke Thailand.
Bagaimanapun, atas sebab kekangan kewangan, mayatnya terpaksa dibakar Leicester.
Difahamkan, abunya dihantar pulang ke Bangkok pada 4 Mac lalu oleh Kiatisuk Senamuang, bekas penyerang dan ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Thailand yang turut membantu Duangpetch mendapatkan biasiswa untuk belajar di UK.
Beliau juga menyifatkan Duangpetch sebagai seorang yang berbudi bahasa, baik hati yang bermimpi bermain untuk negaranya.
BACA: Bekas kapten bola sepak diselamatkan dari gua Tham Luang meninggal dunia di UK
#gua Tham Luang #bekas kapten bola sepak #bunuh diri #Duangpetch Promthep
;