Kapsul bawa sampel asteroid mendarat di bumi
Astro Awani
September 24, 2023 07:40 MYT
September 24, 2023 07:40 MYT
LOS ANGELES: Kapsul angkasa yang membawa sampel asteroid pertama NASA, mendarat di kawasan padang pasir di Utah, sekaligus melengkapkan perjalanan selama tujuh tahun.
Kapsul itu dilepaskan dari kapal angkasa OSIRIS-REx, 100,000 kilometer dari bumi.
Kapsul dengan payung terjun itu mendarat selepas perjalanan empat jam.
Saintis menjangkakan memperoleh sekurang-kurangnya secawan serpihan daripada asteroid yang kaya dengan karbon, dikenali sebagai Bennu.
Satu sudu teh sampel dari asteroid yang sama pernah dibawa pulang oleh Jepun sebelum ini.
OSIRIS-REx memulakan misi angkasa bernilai AS$1 bilion pada 2016 dan ia tiba di Bennu dua tahun kemudian.
Kapal itu kemudian mengutip sampel batu dan serbuk dari Bennu pada 2020.
Ketika kapsulnya mendarat di bumi pada Ahad, kapal itu sudah melalui perjalanan sejauh 6.2 bilion kilometer.
Sampel asteroid Bennu akan diterbangkan ke makmal NASA di Pusat Angkasa Johnson, di Houston, Amerika Syarikat.