Kapasiti fasiliti kesihatan di Gaza kritikal, penduduk Palestin perlukan bantuan - Viva Palestina

Astro Awani
Mei 17, 2021 16:03 MYT
Penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis Israel pada ketika ini amat memerlukan bantuan perubatan susulan peningkatan jumlah mereka yang cedera dan terkorban. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis Israel pada ketika ini amat memerlukan bantuan perubatan susulan peningkatan jumlah mereka yang cedera dan terkorban.
Wakil Viva Palestina Malaysia (VPM), Dr Munawwar Helmi berkata, kapasiti fasiliti kesihatan di Gaza kritikal sebelum pandemik COVID-19 lagi dan ia semakin parah selepas pihak Zionis melakukan serangan.
"Keperluan perubatan diperlukan pada ketka ini sebab fasa kecemasan sebab ramai cedera dan meninggal dunia.Kita perlukan bantuan perubatan untuk merawat kecederaan pada fasa ini.
"Selepas ini fasa pemulihan. Jumlah mereka yang cedera dan meninggal dunia akan meningkat dan kita bukan sahaja memerlukan bantuan fizikal trauma. Dengan peningkatan 40,000 mereka yang kehilangan rumah, kita risau akan berlaku masalah jangkitan COVID-19 pula," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Justeru, rakyat Malaysia disaran untuk terus menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada penduduk Palestin yang sedang berdepan detik sukar akibat serangan Zionis pada ketika ini.
"Sebelum hari raya lagi, kami sudah menghantar RM126,000 nilai perubatan dan barangan perubatan untuk dibekalkan di Almaqasid Charity Hospital di Timur Jerusalem, dan di Charity Hospital di Gaza.
"Fasa kedua, kita sasar RM200,000 untuk disampaikan pelbagai bantuan termasuk Kementerian Kesihatan di Gaza dan hospital-hospital di Gaza dan juga pusat rehab. Kita juga ada bekalkan makanan dan bakul makanan kepada penduduk," tambahnya.
Ujarnya, pada ketika ini, pihak Zionis mensasarkan untuk memusnahkan infrastruktur laluan sekitar hospital dan klinik-klinik di Gaza.
Ia sekali gus menyukarkan penduduk untuk mendapat bantuan kesihatan.
#Astro #Astro Awani #Gaza #meninggal dunia #mangsa #serangan #Zionis #Israel #Malaysia #COVID-19 #pandemik #Palestin #kesihatan #cedera #trauma #perubatan
;