Kapal tentera AS menuju ke Gaza untuk bina pelabuhan
Agensi
Mac 11, 2024 10:00 MYT
Mac 11, 2024 10:00 MYT
SEBUAH kapal tentera Amerika Syarikat (AS) sedang belayar ke arah Asia Barat, membawa peralatan untuk membina dermaga sementara di luar pantai Gaza, kata tentera.
Kapal sokongan logistik, Jeneral Frank S Besson, belayar dari pangkalan tentera di Virginia pada Sabtu lalu.
Usaha membina pelabuhan sementara dicadangkan oleh Presiden AS, Joe Biden sebagai cara untuk memastika bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laut dapat disalurkan dengan mudah.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kebuluran di Semenanjung Gaza "hampir tidak dapat dielakkan" dan kanak-kanak mati kelaparan.
AS dan Jordan menyalurkan bantuan kemanusiaan lebih 11,500 hidangan termasuk nasi, tepung, pasta dan makanan dalam tin melalui udara semalam (Ahad), kata tentera AS.
Penghantaran bantuan melalui darat dan udara terbukti sukar dan berbahaya.
Program Makanan Sedunia terpaksa menghentikan penghantaran darat selepas konvoinya mendapat ancaman tembakan dan rompakan, sementara, pada Jumaat Jumaat lalu, terdapat laporan lima orang telah terbunuh semasa proses penghantaran bantuan melalui udara berikutan payung terjun gagal dibuka dengan baik.
Kapal AS itu berlepas "kurang daripada 36 jam" selepas Biden membuat pengumumannya, Komando Pusat AS menulis pada X.
Ia "membawa peralatan pertama untuk menubuhkan jeti sementara untuk menghantar bekalan kemanusiaan penting" ke Gaza, jelas kenyataan itu lagi.
Menurut Pentagon, kerja-kerja pembinaan pelabuhan sementara itu boleh mengambil masa sehingga 60 hari dengan bantuan 1,000 tentera - tiada seorang pun daripada mereka akan turun ke darat.
Badan-badan pertubuhan amal berkata, mangsa perang yang menderita di Gaza tidak boleh menunggu selama itu.
Sementara itu, sebuah kapal bantuan yang sarat dengan kira-kira 200 tan makanan dijangka belayar dari sebuah pelabuhan di Larnaca, Cyprus pada petang Ahad, lapor media Cyprus.
Bagaimanapun, pada awal pagi Isnin, kapal berkenaan masih berlabuh di Cyprus.
Pertubuhan World Central Kitchen (WCK), yang telah menyediakan bantuan makanan, memberitahu BBC: "Operasi maritim ini kekal sebagai situasi yang berkembang pesat dan lancar... kami merancang untuk memulakan secepat mungkin."
Ia susulan pengumuman Kesatuan Eropah (EU) bahawa laluan laut baharu akan dibuka pada hujung minggu untuk membolehkan bantuan belayar terus dari Cyprus - negara EU yang paling hampir dengan Gaza.
Gaza tidak mempunyai pelabuhan yang berfungsi dan perairan sekitarnya terlalu cetek untuk kapal besar, tetapi WCK berkata pasukannya telah membina jeti di luar pantai untuk menerima bantuan.
Badan amal itu menambah bahawa rancangannya "tidak berkaitan" dengan jeti terapung yang disasarkan
AS untuk dibina.
Israel telah mengalu-alukan inisiatif lautan dan berkata bantuan akan disampaikan selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan di Cyprus "mengikut piawaian Israel."
Tentera Israel melancarkan kempen udara dan darat di Semenanjung Gaza selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu yang menyebabkan 1,200 orang terbunuh dan 253 yang lain telah dijadikan tebusan.
Lebih 30,900 orang telah terbunuh di Gaza sejak itu, kata Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di wilayah itu.
Konflik itu telah mewujudkan krisis kemanusiaan yang semakin meningkat, dan PBB telah memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 576,000 orang di seluruh Semenanjung Gaza - satu perempat daripada penduduk - menghadapi tahap bencana ketidakamanan makanan.
Negara-negara Barat telah mendesak Israel untuk meluaskan penghantaran darat dengan memudahkan lebih banyak laluan dan membuka lintasan tambahan.
Lori telah memasuki selatan Gaza melalui lintasan Rafah yang dikawal Mesir dan lintasan Kerem Shalom yang dikawal oleh Israel.
Bagaimanapun, di bahagian utara, yang menjadi tumpuan fasa pertama serangan darat Israel, sebahagian besarnya terputus daripada bantuan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Dianggarkan 300,000 rakyat Palestin tinggal di sana dengan sedikit makanan atau air bersih.
Israel telah dituduh menghalang usaha bantuan, dan seorang pakar bebas PBB minggu lalu menuduh rejim Zioni situ melancarkan "kempen kelaparan terhadap rakyat Palestin di Gaza."
Yeela Cytrin yang juga Penasihat Undang-Undang misi Israel ke PBB dalam reaksinya menegaskan: "Israel menolak sama sekali dakwaan bahawa ia menggunakan kelaparan sebagai alat peperangan." - Agensi