Kapal selam Nanggala 402: Tangisan si kecil, nyanyian 'Sampai Jumpa' antara luahan harapan keluarga
Agensi
April 25, 2021 19:11 MYT
April 25, 2021 19:11 MYT
BAGAIKAN sudah dapat mengagak ada sesuatu yang bakal menimpa, anak salah seorang mangsa KRI Nanggala-402 milik Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang disahkan tenggelam pada Sabtu, bersungguh-sungguh melarang ayahnya daripada keluar bekerja.
Dalam sebuah video yang tular di laman sosial, anak Leftenan Satu Imam Adi itu dirakamkan menangis dan mengunci pintu bilik agar bapanya tidak boleh keluar.
"Kenapa enggak (tidak) boleh kerja?" itu soalan yang kedengaran ditanya wanita yang merakam video berkenaan.
"Dikancing (Pintu sudah dikunci)," jawab kanak-kanak itu.
Bapa Imam Adi, Edi Sujianto mengesahkan video tersebut dirakamkan menantunya Isnin lalu, sebelum anaknya keluar bekerja.
"Memang pelik perilakunya. Sebelum ini tidak pernah begitu," kata Edi seperti yang dipetik dari portal Detik.
Edi bagaimanapun enggan mengaitkan perkara itu dengan tragedi yang menimpa.
"Mungkin itu hanya kebetulan," katanya.
Imam Adi, bapa kepada dua anak berusia 2 dan 5 tahun, memulakan kerjaya sebagai tentera laut pada 2015 dan bertugas KRI Nanggala-402 sejak 2017.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang lain juga masih belum putus harapan biarpun pihak berkuasa mengesahkan kapal itu tenggelam dan tiada yang terselamat.
Kediaman keluarga Ady Sonata di Jawa Timur, sejak Khamis lalu tidak sunyi daripada bacaan ayat suci al-Quran dan doa.
Sepupu Ady, Widya Ayu Retnowulan memberitahu Kompas, keluarga masih berharap Ady dan kapal selam KRI Nanggala 402 ditemui.
"Apa yang boleh kami lakukan hanyalah berdoa semoga KRI Nanggala-402 segera ditemukan dan Ady serta seluruh anak kapal selamat," katanya.
Sementara itu, adik Ryan Yogie Pratama juga mengharapkan orang ramai terus dapat sama-sama mendoakan abangnya, malah masih menyimpan harapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama.
"Kuat ya kak (abang), semangat buat berjuang. Kita sekeluarga nunggu (menunggu) kak Yogie pulang ke rumah, lebaran kita kumpul ya kak. Doa terbaik buat kamu kak," tulis Ur Vienna di Twitter.
Dia turut memuat naik sebuah video anak-anak kapal menyanyikan lagu Sampai Jumpa nyanyian asal Endank Soekamti, sekaligus mengundang sebak warga maya.
"Malah mereka juga masih berhubung dengan pihak berkuasa untuk memastikan pencarian diteruskan," kata Desy Indah Lestari, koordinator liputan Kompas TV di Bali.
Pada Sabtu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal yang membawa 53 anak kapal itu memasuki fasa baharu dengan mengambil kemungkinan kapal itu telah tenggelam dan tiada yang terselamat.
Ia selepas kapal selam buatan Jerman itu dipercayai kehabisan bekalan oksigen pada awal pagi Sabtu selepas hilang lebih 72 jam.
#KRI Nanggala-402
#mangsa
#Indonesia
#Bali
#hilang
#kapal selam
#Tentera Laut
#laman sosial
#kapal selam Indonesia