Kapal perang Thailand karam: Tiada mangsa baharu ditemukan, kawasan pencarian diperluas

Bernama
Disember 21, 2022 23:03 MYT
HTMS Sukhothai yang membawa 105 kelasi mengalami kerosakan enjin ketika cuaca buruk dan tenggelam kira-kira 20 batu nautika dari wilayah Prachuap Khiri Khan Ahad malam. - Gambar fail
BANGKOK: Pasukan penyelamat Thailand memperluas kawasan pencarian untuk mengesan baki 23 lagi kelasi yang hilang dalam insiden kapal HTMS Sukhothai karam ketika ribut di Teluk Thailand pada Ahad.
Operasi mencari dan menyelamat kini sudah memasuki hari ketiga.
Sehingga 4.30 petang (waktu tempatan) hari ini, menurut Tentera Laut Diraja Thailand pasukan penyelamat tidak menemukan mangsa baharu yang terselamat tetapi akan terus mempergiat usaha mencari.
Sementara itu, jurucakap Tentera Laut Laksamana Pogkrong Monthardpalin berkata operasi mencari dan menyelamat tertumpu di tempat mangsa lain ditemukan pada Selasa.
"Hari ini, kawasan pencarian telah diperluaskan ke 40 batu nautika di barat daya dari lokasi kapal itu karam itu," katanya.
Pada Rabu, ahli keluarga turut berkumpul di pusat operasi mencari dan menyelamat sambil berharap mendapat berita baik mengenai insan tersayang.
HTMS Sukhothai yang membawa 105 kelasi mengalami kerosakan enjin ketika cuaca buruk dan tenggelam kira-kira 20 batu nautika dari wilayah Prachuap Khiri Khan sekitar 11.30 malam (waktu tempatan) pada Ahad.
Sehingga kini, seramai 75 kelasi telah diselamatkan dengan seorang kelasi ditemukan masih hidup pada Selasa. Pada hari sama pasukan penyelamat turut menemukan mayat enam kelasi.
-- BERNAMA
#kapal perang #Thailand #kelasi hilang #operasi sar
;