Kapal perang karam: 2 anak kapal HTMS Sukhothai ditemui, 29 masih hilang
Agensi
Disember 20, 2022 20:28 MYT
Disember 20, 2022 20:28 MYT
BANGKOK : Dua daripada 31 anak kapal perang jenis korvet HTMS Sukhothai yang hilang selepas ia karam di Teluk Thailand pada Ahad malam, ditemui pasukan penyelamat hari ini.
Seorang daripada mereka selamat selepas dua hari terapung di lautan, bagaimanapun seorang lagi disahkan meninggal dunia semasa dirawat di hospital.
Ini menjadikan baki anak kapal yang masih hilang adalah 29 orang.
Pasukan penyelamat menggunakan aset ketenteraan seperti kapal perang dan helikopter dalam perimeter pencarian baki mangsa.
Penemuan anggota tentera laut yang masih hidup berusia 23 tahun yang berasal dari wilayah Loei itu memberi harapan kepada keluarga yang menanti kepulangan mangsa.
Jaket keselamatan yang digunakan oleh anak kapal diharap dapat membantu mereka bertahan di perairan bergelora itu.
Dalam kejadian Ahad malam itu, 76 anak kapal perang kecil berkenaan, berjaya diselamatkan selepas ia karam akibat kerosakan di kedudukan 20 batu nautika, kira-kira 37 kilometer (KM) dari pesisir pantai Thailand.
Ketika itu, terdapat 106 anak kapal berada di kapal berkenaan.
Sebelum ini, visual yang dikongsikan tentera laut menunjukkan kapal berwarna kelabu itu terbalik ke bahagian sisinya, selain haluan kapal dan turet senjata di permukaan air.