Kapal Nautical Aliya selamat sampai di Pelabuhan Chittagong

Hilal Azmi
Februari 14, 2017 09:04 MYT
Kapal Nautical Aliya yang membawa lebih 180 sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan yang membabitkan 12 buah negara kini bersauh di perairan Chittagong sebelum dibawa untuk berlabuh pada 9 pagi Selasa. - Foto Astro AWANI/Hilal Azmi
Misi Kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar selamat tiba dekat Pelabuhan Chittagong pada 12 tengah malam waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia).
Kapal Nautical Aliya yang membawa lebih 180 sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan yang membabitkan 12 buah negara kini bersauh di perairan Chittagong sebelum dibawa untuk berlabuh pada 9 pagi Selasa.
Ketua Misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada Isnin memberitahu, biarpun pihaknya terpaksa berunding dengan Tentera Laut Bangladesh selama hampir tiga jam, tetapi dengan kerjasama yang diberikan Perdana Menteri, Sheikh Hasina dan Datuk Seri Najib Razak, misi ini mampu dijayakan.
"Biarpun Pelabuhan Chittagong berada agak jauh dari Cox's Bazaar, tetapi daripada sudut keselamatan serta kemudahan, pelabuhan ini akan melicinkan proses penghantaran bantuan buat Pelarian Rohingya yang mencari suaka di sini," katanya.
Kapal Nautical Aliya dijadual akan berlabuh pada tengah hari Selasa sebelum beberapa sukarelawan dan pihak media memulakan perjalanan ke Cox's Bazaar bagi proses menyampaikan bantuan di kem pelarian berdekatan.
Perjalanan darat dari Chittagong ke Cox's Bazaar yang sejauh kira- kira 200 kilometer bakal mengambil masa sekurang-kurangnya 5 jam.
Sebelum ini, misi tersebut terpaksa mengharungi pelbagai cabaran termasuklah tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan Bangladesh untuk menurunkan barangan bantuan sebanyak lebih 2,000 tan di Teknaf sebelum diberi pilihan untuk berlabuh di Chittagong.
Namun, kerjasama erat kerajaan Malaysia - Bangladesh telah menjayakan usaha murni ini.
#bantuan kemanusiaan #Chittagong #Flotilla for Myanmar #Nautical Aliya #Rohingya
;