Kapal NASA terbang ke atmosfera luar matahari
Astro Awani
Disember 26, 2024 11:20 MYT
Disember 26, 2024 11:20 MYT
KAPAL angkasa Parker Solar Probe, projek perintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mencipta sejarah terbang ke dalam atmosfera luar matahari, dikenali sebagai korona, dalam misi untuk membantu saintis mengetahui lebih lanjut mengenai bintang terdekat bumi.
Pengurus operasi misi di makmal fizik gunaan Johns Hopkins, Nick Pinkine berkata, tiada objek buatan manusia pernah melepasi bintang sedekat itu dan Parker akan menghantar data dari wilayah yang belum diterokai.
Parker terbang sejauh 6.1 kilometer dari permukaan matahari pada Selasa lepas.
Memandangkan kapal angkasa itu berada di luar hubungan, pengendali misi dijangka mengesahkan keadaannya pada Jumaat selepas penerbangan dekat tersebut.
Ia bergerak pada kelajuan sehingga 692,000 kilometer sejam, cukup pantas untuk terbang dari Washington ke Tokyo, Jepun dalam masa kurang seminit.
Menurut laman web NASA, kapal angkasa tersebut akan menghadapi suhu sehingga 982 darjah Celsius.
Jika jarak antara bumi dan matahari disamakan dengan luas padang bola sepak Amerika, kapal angkasa itu sepatutnya berada kira-kira empat meter dari zon akhir pada saat mendekati matahari paling dekat, dikenali sebagai perihelion.
Apabila peranti itu pertama kali melintasi atmosfera solar pada 2021, ia menemukan butiran baharu mengenai sempadan atmosfera matahari dan mengumpulkan imej dekat penstrim korona dan struktur yang dapat dilihat semasa gerhana matahari.
Sejak kapal angkasa dilancarkan pada 2018, Probe itu secara beransur-ansur mengorbit lebih dekat ke matahari menggunakan laluan lintasan Zuhrah untuk menariknya ke orbit yang lebih dekat dengan bintang sistem suria.
Misi ini membantu saintis menangani beberapa misteri terbesar matahari, termasuk asal angin suria, persoalan mengapa korona lebih panas daripada permukaan di bawah dan bagaimana terbentuknya lonjakan jisim korona awan plasma besar meluncur melalui angkasa.