Kapal MV Ever Given tersekat di Terusan Suez dibenar belayar semula Rabu ini

Agensi
Julai 5, 2021 05:14 MYT
Kapal kargo MV Ever Given dengan berat muatan 199,000 ton tersekat di Terusan Suez pada 23 Mac lalu akibat ditiup angin kencang. -Reuters
ISMAILIA: Kapal kontena MV Ever Given yang terkandas di Terusan Suez pada Mac lalu akan dibenarkan belayar semula pada 7 Julai ini selepas penyelesaian formal dicapai berhubung pertikaian pampasan.
Wakil firma undang-undang yang berpangkalan di London, Stann Marine, Faz Peermohamed dalam satu kenyataan mengesahkan persiapan sedang dijalankan bagi pelepasan kapal berkenaan.
"Persiapan untuk pelepasan kapal akan dibuat dan acara sebagai simbolik perjanjian akan diadakan di markas Otoritas di Ismailia," katanya memetik media antarabangsa.
Sementara itu, penguasa Terusan Suez (SCA) dalam satu kenyataan memaklumkan satu upacara akan diadakan pada Rabu sebagai menandakan pemeteraian perjanjian.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak memaklumkan jumlah sebenar pampasan yang dibayar.
BACA: Kapal MV Ever Given berjaya dialihkan
Ketua SCA, Osama Rabie berkata terusan itu akan menerima kapal tunda sekitar 75 tan sebagai sebahagian daripada penyelesaian.
Kapal kargo MV Ever Given dengan berat muatan 199,000 ton tersekat di Terusan Suez pada 23 Mac lalu akibat ditiup angin kencang.
Kapal milik syarikat Jepun, Shoei Kisen Kaish itu tersekat secara menyerong merintangi terusan, menutup laluan perdagangan global dari kedua-dua arah, timur dan selatan.
Ia menyebabkan kesesakan lalu lintas ke atas lebih 200 kapal di kedua-dua hujung terusan sepanjang 193 kilometer (km) dan menyebabkan kelewatan penghantaran minyak dan produk lain.
Akibat insiden tersebut, Mesir dilaporkan mengalami kerugian di antara AS$12 juta (RM37 juta)
dan AS$15 juta (RM46.3 juta) setiap hari sepanjang laluan itu ditutup.
#Ever Given #Terusan Suez #Kapal kargo tersekat Terusan Suez #Mesir #MV Ever Given #Shoei Kisen Kaish #Osama Rabie #SCA #Ismailia