Kapal MV Ever Given selamat tiba di pelabuhan Rotterdam

Astro Awani
Julai 29, 2021 06:07 MYT
Kapal kargo MV Ever Given, dengan berat muatan 199,000 tan, terkandas di Terusan Suez sehingga menghalang laluan pada 23 Mac lalu. - Foto REUTERS/Eva Plevier
ROTTERDAM: Kapal MV Ever Given yang terkandas di Terusan Suez selamat tiba di pelabuhan Rotterdam, Belanda pada Khamis dalam pelayaran pertamanya selepas penyelesaian dicapai berhubung pertikaian pampasan kapal berkenaan awal Julai lalu.
Menurut pakar logistik maritim, Tjitte de Groot, kapal berkenaan sangat besar dan bergerak secara perlahan bergantung kepada keadaan angin dan arus lautan.
"Kapal besar ini bergerak secara perlahan dan bergantung kepada arus lautan serta angin, selain ia perlu masuk menerusi ruang yang kecil.
"Ini merupakan operasi biasa namun ia sangat mengujakan," jelasnya.
Kapal kargo MV Ever Given, dengan berat muatan 199,000 tan, terkandas di Terusan Suez sehingga menghalang laluan pada 23 Mac lalu.
Kapal milik syarikat Jepun, Shoei Kisen Kaish itu menghalang terusan, menutup laluan perdagangan global dari kedua-dua arah, timur dan selatan.
Ia menyebabkan kesesakan membabitkan lebih 200 kapal di kedua-dua hujung terusan sepanjang 193 kilometer dan menyebabkan kelewatan penghantaran minyak dan produk lain.
Awal bulan ini, Ever Given meninggalkan Terusan Great Bitter Lake, setelah lebih tiga bulan terbabit dengan isu pampasan.
Ia kemudiannya diberikan kebenaran untuk meneruskan pelayarannya setelah pemilik kapal Jepun, Shoei Kisen Kaisha Ltd., mencapai penyelesaian pampasan dengan pihak berkuasa Terusan Suez.
#MV Ever Given #kapal kargo #pelabuhan #Terusan Suez #terkandas
;