Kapal misi kemanusiaan Indonesia ke Gaza tiba di Mesir
Bernama
Februari 14, 2024 16:46 MYT
Februari 14, 2024 16:46 MYT
JAKARTA: Sebuah kapal hospital tentera laut Indonesia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Egyptian Port Visit Task Force 2024 , selamat tiba di Pelabuhan El-Arish, Mesir pada Selasa dengan membawa bantuan penting untuk mangsa konflik di Gaza.
Perjalanan kapal hospital ketiga Indonesia, KRI dr. Radjiman Wedyodiningrat-992, bermula pada 17 Jan dengan membawa 200 tan bantuan kemanusiaan yang terdiri daripada makanan, ubat-ubatan, khemah dan air bersih.
Dalam menyatakan kepentingan bantuan kemanusiaan itu, Komander Pasukan Petugas Lawatan Pelabuhan Mesir 2024 Laksamana Pertama Sumarji Bimoaji berkata misi berkenaan merupakan manifestasi kerajaan Indonesia dan keprihatinan rakyat negara itu.
"Diharapkan dengan bantuan ini, ia dapat membantu untuk meringankan penderitaan mangsa konflik Gaza," menurutnya dalam satu kenyataan.
Bantuan itu kini sedang menjalani prosedur pemunggahan di dok El-Arish dan seterusnya akan dibawa ke Gaza melalui sempadan Rafah, sebelum diagihkan kepada mereka yang terjejas akibat konflik.
-- BERNAMA
#Gaza
#Mesir
#Pelabuhan El-Arish
#kapal hospital tentera laut Indonesia
#KRI dr Radjiman Wedyodiningrat-992