Kapal mewah karam: Mangsa terakhir dipercayai anak taikun elit Mike Lynch ditemui
Pia Ernadya
Ogos 23, 2024 19:37 MYT
Ogos 23, 2024 19:37 MYT
SICILY: Mayat terakhir yang dipercayai merupakan anak perempuan kepada jutawan teknologi British, Mike Lynch telah dijumpai oleh skuad penyelam Itali pada Jumaat.
Menurut Reuters yang memetik sumber, Hannah Lynch, 18, dilaporkan hilang dalam insiden kapal layar mewah yang tenggelam selepas dibadai ribut di luar pantai Sicily, Isnin lalu.
Setakat ini, proses bedah siasat dan pengecaman mangsa terakhir berkenaan masih dijalankan, lapor Reuters.
Terdahulu,kapal layar mewah sepanjang 56 meter (184 kaki) dikenali sebagai Bayesian terbalik akibat hujan lebat dan ribut, kira-kira 20 kilometer (12.4 batu) di timur Palermo, di selatan Itali.
Dalam kejadian itu, 15 orang berjaya diselamatkan termasuk isteri Lynch, Angela Bacares, manakala enam dilaporkan hilang.
Lynch, 59, yang juga pemilik kapal layar mewah itu ditemukan oleh skuad pengawal pantai Itali dan penyelam dari jabatan bomba dan penyelamat tempatan,
Antara yang terkorban adalah cef kapal layar, Recaldo Thomas, yang mayatnya ditemui beberapa jam selepas kapal itu karam.
Mayat-mayat yang telah dikenal pasti setakat ini ialah Pengerusi Morgan Stanley International, Jonathan Bloomer dan isteri, Judith serta peguam, Chris Morvillo dan isteri, Neda.
Sejumlah 22 individu yang berada di atas kapal layar itu berasal dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, New Zealand, Sri Lanka, Perancis, Ireland, Amerika Syarikat dan Kanada.