Kapal masuk ke Ukraine dianggap bawa kargo tentera - Moscow
Bernama
Julai 20, 2023 20:53 MYT
Julai 20, 2023 20:53 MYT
MOSCOW: Rusia akan menganggap kapal yang belayar di perairan Laut Hitam ke pelabuhan Ukraine sebagai "membawa kargo tentera", kata Kementerian Pertahanan Rusia pada Rabu, lapor Xinhua.
"Susulan penamatan Inisiatif Laut Hitam dan pengehadan koridor kemanusiaan maritim, semua kapal dalam perjalanan ke pelabuhan Ukraine di Laut Hitam akan dianggap sebagai membawa kargo tentera mulai 12 pagi waktu Moscow pada 20 Julai," kata kementerian.
Menurut kementerian, bendera yang ada pada kapal di Laut Hitam akan dianggap sebagai pihak dalam konflik yang memihak Ukraine.
Beberapa kawasan di bahagian barat laut dan tenggara perairan antarabangsa Laut Hitam telah diisytiharkan berbahaya buat sementara waktu untuk pelayaran.
Rusia dan Ukraine menandatangani Inisiatif Bijirin Laut Hitam secara berasingan dengan Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Istanbul pada Julai 2022, yang membenarkan Ukraine mengeksport bijirin dan produk pertanian lain dari pelabuhan Laut Hitamnya.
Moscow menggantung penyertaannya dalam perjanjian itu pada 17 Julai dan mendakwa hanya akan kembali kepada perjanjian itu sebaik sahaja bahagian dalam perjanjian Rusia dipenuhi.
-- BERNAMA