Kapal layar mewah pertama milik oligarki Rusia dilelong
Bernama
Ogos 24, 2022 21:45 MYT
Ogos 24, 2022 21:45 MYT
WASHINGTON: Sebuah kapal layar mewah milik jutawan Rusia, Dmitry Pumpyansky yang dirampas baru-baru ini bakal dilelong.
Kapal Axioma akan dijual kepada pembida tertinggi selepas pemilik syarikat keluli itu gagal membayar balik pinjaman JPMorgan Chase, lapor United Press International (UPI) memetik laman sesawang Howe Robinson Partners.
Axioma dianggarkan bernilai antara US$75 juta hingga US$91 juta, bagaimanapun dijangka dijual pada harga lebih murah.
Kapal layar sepanjang 236 kaki itu dibina pada 2013 serta mempunyai kolam infiniti, jakuzi, teater, bar dan padang golf.
Ketika ini, terdapat 115 pembida yang menunjukkan minat, lapor UPI.
Axioma dirampas di wilayah Gibraltar berhampiran pintu masuk ke Laut Mediterranean, pada Mac dan kapal layar pertama yang dilelong selepas kerajaan membekukan aset-aset mewah milik oligarki Rusia.
Pada Julai mahkamah membenarkan JP Morgan menjual kapal layar itu selepas Amerika Syarikat, United Kingdom dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dikatakan menghalang Pumpyansky untuk menjelaskan pinjamannya berjumlah US$20.6 juta.
-- BERNAMA