Kapal AS lakukan serangan baharu ke atas Yaman
Bernama
Januari 27, 2024 18:00 MYT
Januari 27, 2024 18:00 MYT
TEHRAN: Tentera Amerika Syarikat (AS) melakukan serangan baharu ke atas Yaman di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, yang dicetuskan oleh perang rejim Israel ke atas Gaza.
Markas Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) pada awal Sabtu mengumumkan bahawa serangan barunya mengenai peluru berpandu anti-kapal Houthi, lapor agensi berita Iran IRNA.
CENTCOM membuat pengumuman di akaun Xnya, mendakwa bahawa peluru berpandu itu mengancam pelayaran di Laut Merah dan tentera Amerika di rantau itu.
"Pada 27 Jan kira-kira 3.45 pagi (waktu Sanaa), Pasukan Pemerintah Pusat AS melakukan serangan terhadap peluru berpandu anti-kapal Houthi yang disasarkan ke Laut Merah yang bersedia untuk dilancarkan," katanya.
CENTCOM juga berkata serangan itu bertujuan untuk melindungi laluan perkapalan antarabangsa.
"Pasukan AS kemudiannya menyerang dan memusnahkan peluru berpandu untuk mempertahankan diri. Tindakan ini akan melindungi kebebasan pelayaran dan menjadikan perairan antarabangsa lebih selamat dan terjamin untuk kapal Tentera Laut AS dan kapal dagang," katanya.
AS bersama United Kingdom mendakwa perkara yang sama apabila mereka melancarkan serangan udara ke atas Yaman lebih dua minggu lalu.
Sejak itu, kedua-dua negara Barat itu telah melakukan beberapa siri serangan udara terhadap negara Arab itu.
-- BERNAMA