Kapal karam: Sri Lanka berdepan pencemaran laut terburuk
Astro Awani
Jun 6, 2021 08:19 MYT
Jun 6, 2021 08:19 MYT
SRI LANKA berdepan ancaman pencemaran laut dan pantai terburuk dalam sejarah selepas sebuah kapal membawa bahan kimia tenggelam di perairannya.
Kapal Xpress Pearl dari Singapura itu turut membawa 378 tan minyak yang dibimbangi menjejaskan kehidupan marin.
Bagaimanapun tidak berlaku tumpahan minyak di kawasan perairan terbabit.
Pakar berpendapat, minyak tersebut terbakar bersama kapal sebelum ia tenggelam.
Kebakaran yang berlaku dua minggu lalu berhampiran Colombo itu telah menyebabkan kerosakkan ekologi di pantai dan laut Sri Lanka.
Serpihan barangan yang dibawa kapal tersebut dihanyutkan ombak ke pesisir pantai, memaksa pasukan keselamatan dikerah dalam operasi pembersihan.
Insiden itu turut memburukkan lagi keadaan para nelayan yang bergantung kepada pendapatan hasil laut.
Pakar menjangkakan serpihan kapal akan dihanyutkan ke Teluk Bengal dalam masa terdekat dan kesan terhadap alam sekitar akan berkekalan untuk berdekad lamanya.