Kapal induk Titan dakwa operasinya 'sangat selamat'
Bernama
Jun 22, 2023 13:25 MYT
Jun 22, 2023 13:25 MYT
LONDON: Jurucakap kapal induk kepada kapal selam Titan yang kini hilang di luar pantai Kanada mempertahankan OceanGate dengan mendakwa syarikat itu menjalankan "operasi yang sangat selamat", lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Persoalan tentang tahap keselamatan kapal selam yang hilang Ahad lalu dibangkitkan semasa sidang media di Kanada pada Rabu ketika bekalan oksigen untuk lima orang di dalam Titan mampu bertahan kurang daripada 20 jam.
Pengasas bersama dan pengerusi Horizon Maritime Services, yang memiliki kapal induk Polar Prince dari mana Titan dilancarkan, Sean Leet, berkata OceanGate menjalankan operasi yang sangat selamat.
"Fokus kami sekarang ialah mengesan kapal selam itu dan mengeluarkan penumpang dengan selamat. Kami sentiasa berhubung dengan kru Polar Prince.
"Prosedur kecemasan kami bermula serta-merta. Bilik kecemasan kami mempunyai kakitangan 24/7 dengan sekumpulan orang yang sangat berkebolehan dan terdapat komunikasi langsung dengan kapal pada setiap masa. Terdapat 17 orang di atas kapal," katanya.
Kapal itu terputus komunikasi dengan pengendali pelancongan pada Ahad ketika berada kira-kira 700 kilometer (km) ke selatan St John's, Newfoundland.
"Penumpang di dalam kapal selam Titan dan keluarga mereka adalah fokus kami. Kami sangat mengambil berat tentang kesejahteraan mereka, kami di Newfoundland dan Labrador, Kanada, Amerika Syarikat dan di seluruh dunia bersatu dalam usaha ini.
"Ia menjadi beberapa hari yang sangat sukar bagi anak kapal dan keluarga mereka di dalam kapal Titan dan Polar Prince. Kapten Polar Prince dan kru teguh dalam memberikan sokongan pada masa yang sangat sukar ini," katanya.
Beliau berkata beberapa peralatan di lokasi pencarian sudah tentu mampu mencapai kedalaman di mana Titan dipercayai berada.
-- BERNAMA