Kapal Filipina didakwa 'sengaja langgar' kapal China di Laut China Selatan

Astro Awani
Ogos 19, 2024 09:30 MYT
Bendera Filipina berkibar dari BRP Sierra Madre di Terumbu Kedua Thomas yang dipertikaikan, sebahagian daripada Kepulauan Spratly, di Laut China Selatan. - Foto fail/REUTERS
BEIJING : Pengawal Pantai China berkata, sebuah kapal Filipina yang mengabaikan amaran berulang kali mereka "sengaja berlanggar" dengan sebuah kapal China secara "tidak profesional dan berbahaya" di Laut China Selatan yang dipertikaikan, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Satu video pendek kejadian tersebut yang disiarkan di media sosial, Pengawal Pantai China menunjukkan perlanggaran itu berlaku sekitar jam 3.24 pagi Isnin dan melabelkan kapal China tersebut sebagai kapal pengawal pantai.
Dalam kenyataan itu, pasukan keselamatan maritim China mendakwa, kapal Filipina yang sama kemudian memasuki perairan berhampiran Terumbu Kedua Thomas selepas dihalang daripada memasuki perairan Terumbu Sabina.
Dua kapal Pengawal Pantai Filipina "menceroboh secara haram" ke dalam perairan berhampiran Terumbu Sabina tanpa kebenaran pada awal pagi Isnin, menurut jurucakap Pengawal Pantai China, Gan Yu.
"Filipina telah berulang kali mencetuskan provokasi dan menimbulkan masalah, melanggar peraturan sementara antara China dan Filipina," kata Gan, merujuk kepada misi bekalan Filipina kepada sebuah kapal yang terdampar di Terumbu Kedua Thomas.
Seorang jurucakap Pengawal Pantai Filipina bagaimanapun, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebagai maklum balas.
Pengawal Pantai China mendakwa, mereka telah mengambil langkah kawalan terhadap kapal-kapal Filipina mengikut undang-undang dalam kejadian pada awal pagi Isnin dan memberi amaran kepada negara itu untuk "segera menghentikan pencerobohan dan provokasi" atau "menanggung semua akibatnya".
China dan Filipina mencapai "perjanjian sementara" pada bulan Julai selepas beberapa kali berbalah berhampiran Terumbu Kedua Thomas.
Dalam perkembangan berkaitan, China telah dikritik oleh negara-negara Barat atas tindakan agresifnya dalam menghalang usaha Filipina untuk membekalkan semula tentera di atas sebuah kapal tentera laut yang sengaja terdampar 25 tahun lalu.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk kedua-dua terumbu itu, sambil menolak keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague pada 2016 yang menyatakan bahawa tuntutan meluas Beijing tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa.
#kapal filipina #langgar kapal China #Laut China Selatan #Terumbu Kedua Thomas