Kapal dibadai ribut, 31 tentera laut Thai hilang
Agensi
Disember 19, 2022 17:52 MYT
Disember 19, 2022 17:52 MYT
BANGKOK: Seramai 31 anggota Tentera Laut Thailand hilang selepas kapal perang yang membawa lebih 100 anak kapal terbalik dan karam di Teluk Thailand.
Kapal HTMS Sukhothai tenggelam selepas dibadai cuaca buruk pada malam Ahad.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan berjaya menyelamatkan 75 orang kru, manakala 31 masih hilang.
"Sudah lebih 12 jam, tetapi kami akan terus mencari.
"Ini hampir tidak pernah berlaku dalam sejarah pasukan kami, terutamanya kepada kapal yang masih digunakan secara aktif," kata Laksamana Pogkrong Monthardpalin kepada BBC.
Kapal itu terbalik selepas dimasuki air, yang turut menyebabkan litar pintas di bilik enjinnya.
Anak kapal bergelut untuk mengekalkan kawalan kapal sebelum ia tenggelam sekitar jam 11.30 malam Ahad waktu tempatan.
Tentera Laut Thailand memuat naik gambar dan video ke laman Twitter yang menunjukkan pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat.
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa siasatan berkenaan insiden itu sedang berjalan.