Kapal angkasa India terhempas di bulan, tetapi tidak berkecai

Bernama
September 9, 2019 23:21 MYT
Misi yang gagal itu mencetuskan kekecewaan di seluruh negara ketika India mahu melakar sejarah menjadi negara pertama mendarat di kutub selatan bulan yang belum pernah diteroka. - Sumber foto: firstpost.com
Kapal angkasa India terhempas di permukaan bulan tetapi tidak berkecai, kata agensi angkasa lepas negara itu pada Isnin.
Mendarat di bulan dan meneroka permukaannya adalah objektif utama misi Chandrayaan-2 bernilai US$140 juta tetapi komunikasi dengan pesawat yang diberi nama Vikram itu, terputus ketika berada di ketinggian 2.1 kilometer dari permukaan bulan tempat ia dijadual mendarat.
Misi yang gagal itu mencetuskan kekecewaan di seluruh negara ketika India mahu melakar sejarah menjadi negara pertama mendarat di kutub selatan bulan yang belum pernah diteroka.
"Pesawat itu berada di permukaan bulan tetapi tidak berkecai. Kedudukannya agak senget," tulis agensi berita Press Trust of India memetik seorang pegawai Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO).
"Kami berusaha sedaya upaya untuk melihat sama ada komunikasi dengan kapal angkasa itu dapat diperbaiki," kata pegawai yang tidak dinyatakan namanya itu.
Setakat ini, hanya Amerika Syarikat, Rusia dan China berjaya menyempurnakan misi mendarat di permukaan bulan.
Israel mencuba dalam misi bulannya pada April lalu, tetapi kapal angkasa "Beresheet" terhempas di bulan.
Misi Chandrayaan-2 mengandungi pesawat mengelilingi orbit, sebuah kapal angkasa pendarat dan Rover, jentera penerokaan di bulan.
Rover berkenaan perlu dilancarkan daripada pesawat pendarat bagi meneroka permukaan bulan andai kapal angkasa itu berjaya mendarat dengan sempurna.
-- BERNAMA
#agensi angkasa lepas #Chandrayaan-2 #ISRO #kapal angkasa India #Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India #terhempas di bulan #Vikram
;