Kanggaru di zoo China mati dibaling batu-bata oleh pengunjung
Agensi
April 20, 2018 18:06 MYT
April 20, 2018 18:06 MYT
Seekor kanggaru terbunuh manakala satu lagi cedera apabila pengunjung di sebuah zoo di China membaling batu-bata ke arah haiwan itu semata-mata untuk mendapatkan perhatian.
Kanggaru betina yang berusia 12 tahun itu mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki kerana dilempar batu-bata dan bongkah konkrit pada 28 Februari lalu di Zoo Fuzhou di wilayah Fujian.
China Central Televisyen melaporkan, kanggaru itu disahkan mati beberapa hari kemudian oleh doktor haiwan yang merawatnya. Jelasnya, punca kematian adalah disebabkan buah pinggang haiwan marsupial itu rosak selepas dihentam objek-objek yang dilemparkan.
Beberapa minggu kemudian, seekor kanggaru jantan berusia 5 tahun di zoo yang sama juga mengalami kecederaan akibat perbuatan yang sama.
Pengunjung di zoo berkenaan sering mengacah haiwan asal Australia tersebut supaya ia bereaksi dengan cara melompat.
Setakat ini tidak dilaporkan sama ada pelaku kepada insiden itu sudah ditangkap atau dihukum.
Pihak zoo memberitahu, bangkai kanggaru berkenaan akan diawet dan dipamerkan semula di zoo berkenaan, selain pihak pengurusan berjanji memasang kamera keselamatan bagi memastikan pengunjung tidak mengancam haiwan-haiwan di situ.
Zoo dan taman hidupan liar di China sering menjadi lokasi perbuatan manusia yang tidak beretika dan tiada belas kasihan.
Ini termasuk cara haiwan-haiwan itu dikurung dan dijaga mahupun tindakan pengunjung yang melampau.
Sebelum ini, pengunjung sebuah zoo lain ketakutan apabila menyaksikan sekumpulan harimau menyerang dan membunuh seekor keldai yang sengaja dilepaskan oleh pelabur.
Pelabur itu berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan hal ehwal perniagaan di zoo tersebut.
Beberapa bulan lalu pula, seorang pengunjung zoo di Ningbo, selatan Shanghai, maut selepas dibaham harimau di dalam sebuah kandang yang diceroboh masuk.