Kandungan promosi Lazada cetus kemarahan penyokong tegar keluarga diraja Thailand
Agensi
Mei 8, 2022 13:05 MYT
Mei 8, 2022 13:05 MYT
BANGKOK: Thailand pada Sabtu (7 Mei) memberi amaran tentang penghasilan kandungan dalam talian yang berisiko menghina monarki negara itu, selepas sebuah video oleh pempengaruh (influencer) yang mempromosi plastform e-dagang Lazada dikatakan ‘memperli’ istana.
Undang-undang Thailand mengenakan hukuman sehingga 15 tahun penjara bagi setiap kesalahan jika didapati bersalah memburukkan, menghina atau mengancam Raja Maha Vajiralongkorn dan kerabat keluarga terdekatnya.
Reuters melaporkan, video itu, yang kini sudah ditarik balik, mempromosi jualan murah 5 Mei Lazada. Ia mamaparkan seorang wanita yang menganakan persalinan tradisional Thai sedang duduk di atas sebuah kerusi roda, dengan membawakan watak ibu kepada pempengaruh itu.
Para penyokong tegar mengadu bahawa watak wanita itu disifatkan mirip kepada salah seorang anggota keluarga diraja. Video itu bagaimanapun tidak menggunakan bahasa istana, mahupun menyatakan ia merujuk kepada ahlu keluarga diraja.
Dalam video yang dimuat naik di Facebook itu, pempengaruh, Aniwat Aniwat ‘Nara’ Prathumthin, berkata klip tersebut adalah parodi daripada drama siri Thailand yang popular, dan menegaskan semua pihak yang mengaitkannya dengan istana hanya ‘bermain dengan imaginasi’.
Lazada telah mengeluarkan kenyataan maaf berhubung perkara tersebut dan mengakui pihaknya perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana berkata, kandungan seumpama itu berisiko menjejaskan reputasi sesebuah jenama.
"Kami memberi amaran kepada petugas pemasaran, pempengaruh dan pencipta kandungan agar berhati-hati tentang kandungan yang dihasilkan atau promosi yang berkemungkinan dibandingkan dengan penampilan atau individu dari institusi diraja yang disanjung dnan disayangi rakyat Thai," katanya dalam satu kenyataan.