Kanak-kanak tujuh tahun maut disengat kala jengking

Faida Rahim
November 3, 2022 07:00 MYT
Tityus Serrulatus telah menyebabkan banyak kematian. - Foto PIXABAY
BRASILIA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengalami serangan jantung sebanyak tujuh kali selepas dia disengat kala jengking kuning Brazil.
Memetik laporan NDTV, ketika kejadian Luiz Miguel Furtado Barbosa sedang menyarungkan kasut dan disengat kala jengking spesis beracun dikenali sebagai Tityus Serrulatus.
Lapor The Independent, kejadian yang berlaku di bandar Anhembi itu meragut nyawa kanak-kanak selepas dua hari dirawat di hospital.
Luiz Miguel kemudian dibawa ke Hospital Klinikal Sekolah Perubatan Universiti Sao Paulo di mana keadaan pada mulanya dilihat bertambah baik.
Sementara itu, ibu mangsa, Angelita Proenca Furtado memaklumkan sebelum kejadian, keluarga mereka sedang membuat persiapan untuk aktiviti berkhemah pada 23 Oktober lalu.
"Sebaik sahaja dia memakai kasut, dia menjerit kesakitan. Memandangkan kami tidak menjumpai punca, kami terus mencari. Tetapi kakinya mula merah dan dia berkata kesakitan semakin tidak tertahan. Ketika itulah saya membayangkan bahawa ia benar-benar seekor kala jengking dan saya perlu mencarinya untuk mengetahuinya.
“Selepas lima minit mencari, kami menjumpai kala jengking kuning yang paling ditakuti iaitu Tityus Serrulatus yang telah menyebabkan banyak kematian,” katanya.
Pada awalnya, keadaan anaknya dilaporkan stabil namun keyakinan melihat anaknya sembuh mula menghilang selepas melihat anaknya semakin lemah.
“Apabila saya masuk ke dalam bilik untuk berjumpa, saya meletakkan tangan saya di atas kepalanya dan dengan sepenuh hati menyerahkannya kepada pemilik asalnya. Saya berkata seperti ini, Tuhan, dia adalah milikmu! Bawa dia bersama-sama dan jaga dia. Semoga kehendakMu, bukan kehendakku," katanya.
Difahamkan, bandar itu telah merekodkan sebanyak 54 kes kejadian membabitkan kala jengking sejak awal tahun ini.
#Kanak-kanak #Brazil #kala jenking #Tityus Serrulatus
;