Kanak-kanak saksi keluarga ditembak mati semasa acara hari jadi
Astro Awani
April 8, 2021 11:34 MYT
April 8, 2021 11:34 MYT
NEW YORK: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menyaksikan kematian ibu dan dua kakak-kakak tirinya selepas mereka ditembak oleh bapanya sendiri.
Kejadian berlaku di New York, Amerika Syarikat pada Isnin, lapor portal berita The Post.
Kanak-kanak tersebut sempat menyorok di dalam almari sebelum membuat panggilan telefon kepada polis.
"Ayah datang bagi menyambut hari kelahiran saya dan dia menembak mati mereka," katanya dalam panggilan telefon kepada 911.
Menurut Ketua Polis NYPD, James Essig, panggilan kecemasan diterima daripada kanak-kanak tersebut semasa dia sedang menyambut hari kelahirannya.
"Dia menangis kerana tidak dapat hadiah sempena hari kelahirannya. Ia sangat menyedihkan. Kami temui kanak-kanak tersebut di dalam almari," katanya.
Siasatan awal mendapati, Joseph McCrimons, 46, tiba di tempat kejadian dan menembak mati Rasheeda Barzeym 45, serta dua anak tirinya, Chloe Spears, 16, dan Solei Spears, 20.
McCrimons kemudian dipercayai menembak diri sendiri.
Polis turut mendedahkan McCrimons mempunyai rekod jenayah lampau.