Kanak-kanak perempuan maut dicekik, mata dicungkil gara-gara hutang ibu bapa

Agensi
Jun 7, 2019 11:27 MYT
Pembunuhan itu disyaki telah dilakukan atas pertengkaran mengenai sejumlah wang yang diberikan sebagai pinjaman. - Gambar hiasan
SEORANG kanak-kanak perempuan maut dicekik dan kedua matanya dicungkil selepas ibu bapanya didakwa gagal membayar balik sejumlah wang yang dipinjam mereka di bandar Tappal di Uttar Pradesh, di India.
Menurut laporan NDTV, mayat kanak-kanak tersebut ditemui pada Ahad di sebuah tempat pembuangan sampah di rumahnya, tiga hari selepas mangsa dilaporkan hilang.
Mangsa yang berusia dua tahun setengah itu dikatakan ditemui selepas sekumpulan anjing liar dilihat menggonggong apa yang kelihatan sebagai cebisan tubuh manusia.
Menurut pihak polis, dua orang yang dituduh, dikenali sebagai Zahid dan Aslam, adalah jiran mangsa.
Siasatan awal percaya ia satu kes berkaitan dendam peribadi kerana polis mendapat bukti beberapa urusan kewangan. Pembunuhan itu disyaki telah dilakukan atas pertengkaran mengenai sejumlah wang yang diberikan sebagai pinjaman.
Jumlah yang didakwa harus dibayar oleh ibu bapa mangsa adalah sebanyak Rs10,000 (RM601.31).
Menurut Pegawai Kanan Polis Aligarh, Akash Kulhari, ia merupakan satu kes penculikan yang telah dilaporkan pada 31 Mei.
"Tertuduh telah ditangkap dan mereka mengaku bersalah atas jenayah itu. Ia merupakan kes permusuhan peribadi dan tidak ada tanda-tanda mangsa dirogol,” katanya.
Menurut laporan media, keluarga dan saudara-mara mangsa telah bertindak menyekat jalan raya sebagai bantahansebelum dileraikan pihak polis.
#dicekik #hutang #jenayah #Kanak-kanak #mangsa #MATA #mati #maut #pinjaman wang #polis #wang
;