Kanak-kanak perempuan 11 tahun dinoda 17 lelaki
Sinar Harian
Julai 17, 2018 00:17 MYT
Julai 17, 2018 00:17 MYT
Seramai 17 lelaki ditahan pihak berkuasa India atas dakwaan menoda seorang gadis berusia 11 tahun selama beberapa minggu.
Dalam kes terbaharu di negara itu, seorang pengendali lif berusia 66 tahun dipercayai menjadi suspek pertama menyerang mangsa yang ketika itu berbasikal melalui sebuah blok apartmen kosong untuk pulang ke rumah dari sekolah.
Suspek lalu mengajak beberapa individu lain yang kemudian turut menoda mangsa dan merakam perlakuan keji terbabit.
Mangsa yang juga cacat pendengaran dikatakan diberi suntikan dan minuman mengandungi dadah sepanjang berada bersama suspek.
Menurut polis, mangsa yang kini menerima rawatan memaklumkan keluarganya tentang kejadian yang menimpa dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
India mempunyai rekod buruk kesalahan jenayah seksual, di mana 19,000 serangan ke atas kanak-kanak dicatatkan pada tahun 2016, namun dipercayai jumlah kes yang tidak dilaporkan adalah lebih tinggi.
Januari lalu, negara itu digemparkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia lapan tahun selepas diculik, diberi dadah dan dinoda beramai-ramai selama berhari-hari di sebuah kuil.
Kes terbabit membawa kepada pengenalan hukuman mati untuk kesalahan menodai gadis di bawah umur 12 tahun. - AFP