Kanak-kanak Palestin terbang layang-layang, imbas kembali aktiviti sebelum perang
Astro Awani
Februari 10, 2024 09:15 MYT
Februari 10, 2024 09:15 MYT
RAFAH: Kanak-kanak Palestin yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel dilihat menerbangkan layang-layang berwarna-warni di kawasan perkhemahan sementara mereka di Rafah.
Salah seorang kanak-kanak di Rafah, Ali Salman memberitahu dia kini tidak lagi mampu melakukan aktiviti seperti melayari internet dan bermain di taman seperti yang sering dilakukan sebelum Israel datang membedil Gaza.
"Kami menerbangkan layang-layang sebelum ini, kami bermain macam-macam termasuk guli. Kami pernah menonton TV atau duduk di telefon kami, kami pernah bermain di internet, tetapi kini tiada internet atau elektrik untuk menghidupkan telefon kami.
"Dahulu, ayah pernah membawa saya keluar ke taman hiburan dan taman, kita akan pergi ke mana-mana, namun kini sudah tiada taman hiburan mahupun taman. Ayah saya sekarang di utara bersama abang saya, jadi bagaimana kita hendak keluar? Hanya Tuhan sahaja yang tahu," katanya.
Dalam masa sama, seorang kanak-kanak Palestin, Rana Abu Telah dari Deir Al-Balah memberitahu dia kini kehilangan semua permainan di rumah termasuk kawan-kawan dan orang tersayang.
Tambahnya, kapal terbang orang Yahudi (Israel) menjalankan serangan udara, manakala kapal terbang Palestin tidak boleh bergerak ke mana-mana.
Sistem pendidikan Gaza telah mengalami kemerosotan yang ketara sejak serangan Israel ke atas jalur Gaza pada 7 Oktober.
Sejak empat bulan yang lalu, kira-kira 378 sekolah telah dimusnahkan atau rosak.
Kementerian Pendidikan Palestin melaporkan kematian lebih daripada 4,327 pelajar, 231 guru dan 94 profesor.
Penduduk Gaza berharap agar genjatan senjata dilakukan segera untuk mengelakkan serangan Israel ke atas Rafah, yang terletak di sebelah selatan pagar sempadan Gaza dan kini menjadi tempat tinggal lebih sejuta penduduk.