Kanak-kanak lontar batu di memorial pembunuhan beramai-ramai buat ramai berang

Agensi
Mei 2, 2018 08:28 MYT
Batu-batu kecil berwarna putih yang diletakkan di sekeliling memorial itu dikatakan sebagai simbol tulang kepada mangsa yang terkorban.
Satu petikan video yang memaparkan tindakan sekumpulan kanak-kanak membaling batu ke arah memorial peringatan mangsa kekejaman pembunuhan beramai-ramai di Nanking, menimbulkan perdebatan hebat di China.
Visual antara lain memaparkan beberapa kanak-kanak sedang asyik melontar batu-batu kecil ke arah memorial itu yang dibina bagi memperingati pembunuhan lebih 300,000 penduduk China sewaktu pencerobohan tentera Jepun di Nanjing, sewaktu Perang China-Jepun pada 1937.
Batu-batu kecil berwarna putih yang diletakkan di sekeliling memorial itu dikatakan sebagai simbol tulang kepada mangsa yang dibunuh kejam.
Lapor South China Morning Post, video terbabit telah ditonton sebanyak lebih tiga juta kali.
KLIK UNTUK LIHAT VIDEO PERLAKUAN KANAK-KANAK YANG DIKECAM
Kelakuan kanak-kanak itu pantas mendapat kritikan para netizen.
“Ini negara yang sedang berduka dan bersedih, tolong jangan bawa kegembiraan anda, apabila berada di sini,” komen seorang netizen.
Menurut perakam insiden terbabit yang enggan dinamakan, hatinya luluh melihat tindakan kanak-kanak itu.
Namun masih ada yang memandang ringan insiden itu, dan menganggap ia hanya perbuatan biasa buat kanak-kanak.
Susulan itu, pihak memorial terbabit mengambil tindakan untuk menempatkan lebih ramai kakitangan dan sukarelawan untuk mengelakkan perkara yang sama berulang.
Dewan Memorial Pembunuhan Beramai-ramai Nanjing dibina pada tahun 1985, berhampiran sebuah kubur besar mangsa yang dikebumikan beramai-ramai di bahagian barat daya bandar itu.
Pihak tentera Jepun merahsiakan jumlah sebenar mangsa yang terbunuh, namun pegawai China menganggarkan sekitar 300,000 penduduk terbunuh.
Ia berdasarkan Tribunal Jenayah Perang Nanjing yang ditubuhkan untuk menyiasat pembunuhan kejam itu.
#China #jenayah #Jepun #Kanak-kanak #lontar batu #mangsa #Nanjing #Nanking #pembunuhan beramai-ramai #Perang China- Jepun #tentera #video #viral