Kanak-kanak jumpa wang kertas 100,000 euro terapung di Sungai Danube
Nizam Bakeri
Disember 8, 2015 19:26 MYT
Disember 8, 2015 19:26 MYT
Polis Austria sedang menyiasat punca Sungai Danube ‘bertukar warna' dari biru kepada merah dan hijau akibat wang kertas Euro yang bertaburan di permukaan sungai tersebut.
Lebih €100,000 dalam denominasi €500 dan €100 dikesan terapung di sebahagian kawasan sungai di Vienna itu.
Menurut akhbar Osterreich, kumpulan wang kertas itu ditemukan seorang kanak-kanak lelaki yang terjun ke dalam sungai untuk mendapatkan wang tersebut.
Orang awam yang berada berdekatan menyangka kanak-kanak tersebut ingin membunuh diri lalu menghubungi polis yang kemudiannya memancing keluar wang kertas.
Para detektif telah menolak sebarang kemungkinan wang tersebut berasal dari aktiviti penggubahan wang haram atau mana-mana aktiviti jenayah.
Jurucakap polis, Roman Hahslinger berkata jika tidak ada sesiapa yang tampil untuk menuntut wang tersebut, kanak-kanak lelaki tersebut boleh menuntutnya.
Berdasarkan undang-undang Austria, sekiranya pemilik asal tidak mengemukakan tuntutan selama satu tahun, kanak-kanak tersebut boleh menuntut wang tersebut.
Sungai Danube berasal dari Black Forest di Jerman dan mengalir sepanjang 1,700 kilometer ke timur melalui Austria dan beberapa negara sebelum berakhir di Laut Hitam.